Penganjur nafi Raja Azlan alami kecederaan serius disengat ubur-ubur - Utusan Malaysia

Penganjur nafi Raja Azlan alami kecederaan serius disengat ubur-ubur

PESERTA renang yang terkena sengatan ubur-ubur diberikan rawatan di Pantai Teluk Senangin dekat Lumut semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dakwaan kononnya anakanda Sultan Perak, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah mengalami kecederaan serius akibat sengatan ubur-ubur ketika acara Teluk Senangin Open Water Swim 2025 di Teluk Senangin semalam adalah tidak benar.

Sekretariat Teluk Senangin Open Water Swim 2025 dalam kenyataan memaklumkan bahawa Raja Azlan tidak mengalami kecederaan berat atau serius, sebaliknya berada dalam keadaan baik dan sihat sepanjang acara berlangsung.

“Terdapat laporan dan kenyataan tular di media sosial yang mendakwa Raja Azlan mengalami kecederaan serius akibat sengatan ubur-ubur ketika menyertai acara renang itu.

“Bagi pihak penganjur, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

“Keadaan Raja Azlan adalah baik dan sihat sepanjang penglibatan baginda dalam acara berprestij itu meskipun terdapat kecederaan ringan pada tangannya kerana sengatan ubur-ubur,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebarang dakwaan yang menyatakan berlaku kecederaan berat atau perkara yang boleh mencemarkan nama baik institusi diraja adalah tidak berasas sama sekali.

Kenyataan itu turut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cubaan untuk mencetuskan kekeliruan serta mencemarkan keharmonian penganjuran acara tersebut.

“Pada program berkenaan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat bagi memberikan sokongan kepada anakanda baginda serta peserta lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama kenyataan itu turut menafikan dakwaan bahawa berlaku serangan ubur-ubur secara agresif atau dalam jumlah besar terhadap peserta acara.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan semakan data kesihatan oleh pasukan perubatan di lokasi, jumlah peserta yang mengalami sentuhan ringan daripada ubur-ubur adalah sangat kecil dan terkawal.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan daripada mereka hanya mengalami reaksi alahan kulit yang biasa dan sementara seperti kegatalan dan kemerahan atau rasa pedih pada bahagian kulit yang terdedah.

“Semua peserta yang terlibat menerima rawatan serta-merta di khemah rawatan yang disediakan dan hanya lima peserta dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemerhatian lanjut manakala tiada peserta dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Selain itu, kita juga tidak menerima laporan rasmi daripada pihak hospital atau keluarga peserta yang menyatakan kesan jangka panjang atau komplikasi serius,” katanya.

Tambah kenyataan itu, semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kegusaran awam.

“Kami juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan, perubatan, sukarelawan dan peserta yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang acara berlangsung,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN