BUTTERWORTH : Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan prosiding pendakwaan terhadap seorang lelaki warga Vietnam yang berdepan lima pertuduhan termasuk cubaan mencederakan seorang bayi berusia 11 bulan pada 9 Ogos lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal kemudian menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa yang fasih berbahasa Vietnam hadir ke mahkamah selain tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin sementara menunggu tarikh tersebut.
Tertuduh, Nguyen Minh Hoa, 36, sebelum itu berdepan tiga pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh pula tidak diwakili oleh peguam.
Selepas prosiding, tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah dengan menggunakan kerusi roda kerana dikatakan menghidap penyakit gout.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki terbabit bertindak agresif apabila cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air di sini.
Ketika kejadian, suspek juga sempat menarik seorang bayi berusia 11 bulan daripada pelukan ibunya sambil memegang sebilah pisau bagi mengelakkan dirinya daripada ditahan oleh penyelia pasar raya dan pihak keselamatan.
Kejadian yang tular di media sosial itu turut mendapat kecaman daripada warganet kerana tindakan suspek ketika itu telah menyebabkan bahagian belakang kanak-kanak berkenaan mengalami lebam.-UTUSAN