PETALING JAYA: Kejayaan peserta negara dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-65 yang berakhir semalam turut membanggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai anak Malaysia, saya amat bersyukur dan bangga dengan pencapaian peserta Malaysia pada musabaqah edisi tahun ini.
“Malam tadi ternyata istimewa dan dekat di hati saya tatkala majlis ini turut meraikan kehadiran Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Fadhilatus Syeikh Dr Solah al-Budair sebagai tetamu istimewa,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.
Anwar pada masa sama berharap, umat Islam terus menjadikan al-Quran sebagai petunjuk hidayah selain menekuni dan mentadabbur al-Quran dengan mendalam dan penuh keinsafan.
“Mendoakan agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang bertakwa,” katanya.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, Malaysia merangkul tempat pertama bagi kategori tilawah lelaki dan wanita.
Qari negara, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, muncul juara kategori tilawah lelaki dengan markah 97.01 peratus, manakala qariah negara, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, menjuarai kategori tilawah wanita dengan markah 95.88 peratus. – UTUSAN