Pembangkang keluar Dewan hanya drama, ingin tutup kekalahan

Pembangkang keluar Dewan hanya drama, ingin tutup kekalahan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Fahmi Fadzil (PH–Lembah Pantai) menyifatkan tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat sebagai helah untuk menutup kekalahan selepas gagal dalam undian Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di peringkat bacaan kali kedua.

Beliau berkata, langkah itu jelas menunjukkan pembangkang cuba memutar belit keadaan seolah-olah wujud isu lain yang mendorong mereka bertindak demikian.

“Selepas tewas, mereka cuba mengalihkan perhatian dengan alasan kononnya ada isu lain yang menyebabkan mereka keluar Dewan. Hakikatnya, mereka perlu menerima bahawa mereka kalah.

“Kerajaan kekal dengan majoriti kukuh, sedangkan pembangkang tidak cukup bilangan. Apa sahaja hujah yang mereka bawa lebih banyak bersifat retorik dan emosi, bukannya fakta,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.

Fahmi berkata, tindakan pembangkang mengaitkan isu lain selepas keputusan undi hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Saya kesal kerana mereka cuba mengaburi mata rakyat dengan alasan tidak berasas. Hakikatnya, kekalahan itu punca mereka keluar Dewan. Apa yang berlaku hanyalah drama mingguan Ahli Parlimen Larut dan rakan-rakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kelulusan RUU Perolehan Kerajaan di peringkat bacaan kedua membuktikan majoriti besar Ahli Parlimen menyokong dasar berkenaan sekali gus menzahirkan keyakinan terhadap usaha kerajaan memperkukuh tatakelola perolehan negara.

Katanya, kelulusan bacaan kedua ini jelas menunjukkan hampir keseluruhan Ahli Parlimen menyokong RUU Perolehan Kerajaan.

“Pada masa sama, saya ingin memberi sedikit respon terhadap kenyataan Ketua Pembangkang yang membangkitkan isu Peraturan Mesyuarat 80B.

“Seperti yang dijelaskan Ahli Parlimen Bangi, peraturan itu tidak bersifat wajib untuk kementerian merujuk setiap RUU kepada jawatankuasa.

“Sebaliknya, ia bergantung kepada perbincangan antara pengerusi jawatankuasa pilihan khas dengan menteri bagi menentukan keperluan,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut tidak timbul dalam konteks RUU Perolehan Kerajaan kerana tidak ada permintaan rasmi daripada jawatankuasa untuk merujuknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×