KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melancarkan dasar dan pelan strategik di bawah inisiatif Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT) sebagai langkah memperkasa pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh, mampan dan berdaya tahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TNEXT adalah agenda ekonomi holistik yang menghimpunkan tiga dasar utama sebagai pemacu kepada pembangunan masa depan Terengganu.
Kata beliau, tiga dasar berkenaan adalah Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) 2023–2030, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025–2030 dan Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2024–2030.
“Ini adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan Terengganu terus maju, mesra pelabur dan bersedia menghadapi cabaran masa depan menerusi ekosistem pelaburan berimpak tinggi, teknologi hijau serta ekonomi digital,” katanya ketika berucap merasmikan dasar dan pelan itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Abd Rahman, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, DPPPNT menetapkan enam kluster perindustrian utama sebagai tumpuan kerajaan negeri iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.
Katanya, selari dengan agenda nasional, dasar tersebut disokong enam teras pelaksanaan dan 22 strategi utama yang merangkumi penyediaan insentif pelaburan, peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan tanah yang sistematik dan mesra pelabur.
Dalam memperkukuh kedudukan negeri sebagai peneraju ekonomi hijau, beliau berkata, kerajaan turut membangunkan PITIH 2030 yang menjadi komponen penting dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030.
“Setakat ini, beberapa projek strategik dilaksanakan termasuk Projek Hibrid Hidro-Floating Solar di Tasik Kenyir, Projek Logi Hidrogen Petronas, Taman Perindustrian Kemaman untuk industri hiliran berasaskan teknologi CCUS (Carbon Capture, Utilization and Storage) serta projek rintis kincir angin di Kemaman.
“Projek-projek ini menjadikan Terengganu antara penyumbang utama tenaga hijau negara, dengan unjuran penjanaan tenaga hijau mencecah empat gigawatt menjelang 2030, iaitu kira-kira 20 peratus daripada kapasiti semasa negara,” katanya.
Pencapaian itu, menurut beliau, mengangkat peranan Terengganu sebagai antara penjana tenaga hijau tertinggi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada matlamat negara mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, pelaksanaan dasar dan projek berimpak tinggi di bawah TNEXT telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan pendapatan baharu negeri.
“Pendapatan baharu negeri menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, malah setakat Jun tahun ini sahaja, Terengganu telah mencatat pendapatan baharu sebanyak RM62 juta. Kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran pendapatan baharu sebanyak RM530 juta menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN