PETALING JAYA: Dua pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) Putrajaya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Pertandingan Robotik Dunia (WRC) yang bakal berlangsung di Shenzhen, China selepas mengharumkan nama negara pada WRC 2025 di Perth, Australia.
Prestasi cemerlang wakil Malaysia dalam acara yang berlangsung bermula 31 Julai hingga 2 Ogos itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pasukan Malaysia terdiri daripada Muhammad Daiyan Mohd. Shahril dan Muhammad Asyraf Iman Aziz menunjukkan prestasi luar biasa dalam teknologi drone dan robotik ketika bersaing dengan peserta dari seluruh dunia.
Penyelaras Program, Amir Mirza berkata, kejayaan kedua-dua pelajar Malaysia di Australia itu adalah hasil Latihan dan persiapan intensif di bawah program STEM Nexus yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat sains dan teknologi untuk masa depan.
Katanya, kedua-dua mereka juga mendapat sokongan daripada Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum (BSKK), Kementerian Pendidikan.
“Setelah berjaya melayakkan diri ke Peringkat Akhir WRC di Shenzhen, mereka akan berdepan dengan barisan juruterbang drone muda terbaik dunia.
“Acara berprestij itu akan menghimpunkan pasukan teratas dari lebih 20 negara, menawarkan platform untuk Malaysia mempamerkan kemampuan STEM yang semakin berkembang.
“Kejayaan mereka mencerminkan potensi Malaysia dalam pendidikan STEM dan kepentingan menyokong bakat muda selain memberi tumpuan untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran lebih besar di China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi meneruskan latihan lanjutan, peningkatan peralatan, perbelanjaan perjalanan dan penginapan serta bimbingan daripada pakar industri, kedua-dua pelajar memerlukan sokongan nasional dalam bentuk sumbangan.
“Inisiatif ini bukan sekadar pertandingan, ia merupakan pelaburan strategik untuk masa depan digital Malaysia dan terbuka untuk bekerjasama dengan rakan potensi dari industri dan akademik bagi menyokong program pembangunan STEM.
“Program STEM nasional telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar sejak 2016. Inisiatif ini telah membantu golongan kurang berkemampuan (B40 dan asnaf) dengan mewujudkan peluang saksama dalam pendidikan teknologi,” katanya.-UTUSAN











