KOTA BHARU: Pelajar-pelajar di 667 buah sekolah sudah diberi pendedahan berhubung keselamatan internet menerusi kempen yang digerakkan Kementerian Komunikasi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik) kementerian itu, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, langkah itu adalah inisiatif kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha membanteras pelbagai jenayah dalam talian melibatkan pelajar sekolah.
“Kita yakin menerusi kempen ini dapat memberi kesedaran kepada mereka sejajar dengan hasrat kerajaan untuk tidak membenarkan kanak-kanak berusia 13 tahun memiliki akaun media sosial.
“Tidak dinafikan berdasarkan laporan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), memang banyak kes jenayah yang membimbangkan pada masa ini,”‘ katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) dan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah Kota Bharu, di sini hari ini.
Nik Kamaruzaman berkata, ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan penting untuk menasihatkan anak-anak mereka tidak terlibat dengan jenayah siber atau lain-lain.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Kelantan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pada 7 hingga 9 Ogos ini.
Katanya, program itu bertemakan ‘Kesedaran Keselamatan Negara dan Kempen Internet Selamat’, dirangka berkonsepkan karnival dan penyampaian perkhidmatan meliputi lapan komponen teras itu memberi manfaat khusus secara langsung kepada rakyat untuk memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Selain itu, bersempena dengan bulan kebangsaan turut diadakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat negeri Kelantan melibatkan penyertaan kelab motosikal berkuasa tinggi iaitu Harley Davidson Kelantan serta perarakan beca berhias bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan,” katanya. – UTUSAN










