PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas keputusan mengarahkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian kanak-kanak berusia 13 tahun itu.
Menurut peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan dan Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, prosiding tersebut selaras dengan peruntukan Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah yang bertujuan mengenal pasti punca serta sebab kematian termasuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
“Dengan keputusan ini, semua perkara yang kami mohon daripada AGC menerusi surat bertarikh 5 Ogos 2025 telah dipenuhi.
“Kami akan memohon kepada koroner agar diberi peluang terlibat secara langsung dalam prosiding inkues nanti. Harapan kami adalah supaya prosiding berjalan lancar dan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Keadilan untuk Zara adalah matlamat utama kami dalam setiap tindakan yang diambil,” kata mereka kepada Utusan Malaysia.
Hari ini, AGC memutuskan agar inkues kes kematian Zara Qairina dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
Prosiding inkues itu bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina. – UTUSAN










