SEGAMAT : Sepasang suami isteri yang juga pemilik kedai emas Mimiey D’Jewels dari Pekan, Pahang, maut dalam satu kemalangan apabila kereta Ford Mustang yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar dua tiang elektrik di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran Felda Pemanis, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika pasangan berkenaan, Mohd. Izuddin Harmaini, 51, dan Nur Syamimi Rosli, 36, dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Mohd. Izuddin dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh dua tiang elektrik.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat pasangan berkenaan dihantar ke Hospital Segamat untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I Abd. Rahim Taufik memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. Operasi mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mayat kedua-duanya berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN