Pas mahu tokoh baharu ketuai PN?

Pas mahu tokoh baharu ketuai PN?

Pas dikatakan berhasrat mahu melantik tokoh baharu bagi mengetuai Perikatan Nasional (PN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dijangka mengubah pendirian dengan mencadangkan tokoh utama baharu untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan bukan lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, perkara itu akan menjadi antara tumpuan utama dalam Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, muktamar tersebut penting kerana ia menjadi medan Pas menetapkan pendirian berhubung kepimpinan tertinggi PN, selain merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Isu calon Perdana Menteri akan menjadi perbahasan besar. Pas mahu menampilkan tokoh baharu yang lebih berwibawa untuk meyakinkan rakyat, sekali gus memperkukuh imej PN,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, Pas juga dijangka menyatakan pendirian rasmi mengenai hubungan dengan parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu selepas PN mengadakan beberapa siri pertemuan tanpa penglibatan parti itu.

“Perkara ini akan diperhalusi dalam muktamar kerana ia menyentuh soal masa depan kerjasama politik PN. Pas perlu jelas sama ada mahu membuka ruang lebih luas atau mengekalkan pendekatan sedia ada,” katanya.

Selain itu, isu kedudukan Pas dalam Pilihan Raya Negeri Sabah turut dijangka dibincangkan.

Mazlan berkata, parti itu mahu memastikan suara dan pengaruh mereka tidak di­pinggirkan dalam percaturan politik di Sabah.

Menurutnya, agenda pembangunan di negeri ditadbir Pas di bawah kerangka SG4 juga akan diberi perhatian. Isu itu penting kerana ia berkait rapat dengan komitmen kerajaan Pusat me­nyalurkan pelbagai peruntukan baharu termasuk untuk Kelantan.

“Perwakilan sudah pasti akan menilai kesan peruntukan tersebut terhadap kedudukan politik Pas. Ia bukan sahaja isu pembangunan, tetapi juga peluang untuk menonjolkan keupayaan parti mentadbir negeri,” katanya.

Tambahnya, muktamar kali ini akan menjadi kayu ukur kekuatan jentera Pas di peringkat akar umbi. Kesiapsiagaan mereka penting untuk memastikan PN mampu menyaingi gabungan kerajaan perpaduan.

“Muktamar bukan sekadar ruang dalaman, tetapi mesej jelas kepada rakyat bahawa Pas sudah bersedia mengambil peranan sebagai tulang belakang PN dalam menghadapi PRU-16,” ujarnya.

Menurutnya, setiap resolusi yang diputuskan nanti akan membawa implikasi besar terhadap hala tuju Pas dan arah kerjasama dalam PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN