PARLIMEN: Takiyuddin persoal AGC terburu-buru laksana inkues

PARLIMEN: Takiyuddin persoal AGC terburu-buru laksana inkues

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwa terburu-buru mengadakan inkues serentak dengan siasatan polis berhubung sesuatu kes.

Katanya, langkah itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud percanggahan antara dapatan siasatan polis dengan prosiding inkues yang dijalankan pada masa sama.

“Kenapa AGC nampak tergesa-gesa untuk melaksanakan inkues, sedangkan siasatan polis belum pun selesai sepenuhnya? Inkues ini pula dijalankan serentak dengan siasatan.

“Kalau ada percanggahan nanti, apa jadi? Sepatutnya biarlah siasatan polis diselesaikan dahulu, kemudian barulah inkues dijalankan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan, semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada polis menyempurnakan siasatan sebelum langkah undang-undang lain diambil.

Menurutnya, tindakan terburu-buru hanya akan menimbulkan persepsi bercanggah terhadap integriti proses keadilan negara serta membuka ruang kepada pelbagai andaian masyarakat.

“AGC sendiri sepatutnya lebih berhati-hati. Jangan sampai orang nampak ia cuba mendahului atau campur tangan dalam siasatan polis. Kena jelas, mana peranan penyiasatan dan mana pula bidang inkues,” katanya.

Tambah beliau, sistem perundangan negara sudah ada garis panduan yang jelas, justeru amat penting supaya badan kehakiman dan penguat kuasa tidak dilihat bertindih atau melangkaui bidang masing-masing.

Takiyuddin turut mengingatkan kerajaan bahawa ketelusan dalam setiap siasatan adalah asas untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan.

“Kalau rakyat nampak bercanggah, kalau rakyat nampak terburu-buru, akhirnya keyakinan akan terhakis. Ini tidak baik untuk imej pentadbiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×