KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur dalam kalangan belia berusia antara 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 270,400 orang kepada 281,700 orang dengan kadar pengangguran kekal 9.9 peratus berdasarkan laporan Survei Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kadar tersebut dianggap tinggi namun merupakan trend biasa di kebanyakan negara kerana kumpulan belia baharu menamatkan pengajian serta berdepan kesukaran mendapat pekerjaan akibat kekurangan pengalaman.
Sebaliknya, beliau berkata, kadar pengangguran nasional mencatatkan penurunan daripada 553,800 orang (3.3 peratus) pada suku pertama 2024 kepada 526,300 orang (3.1 peratus) pada suku pertama 2025.
“Bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran bakat muda negara, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menawarkan sebanyak 112 program sepenuh masa di peringkat Sijil, Diploma dan Diploma Lanjutan di 33 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) seluruh negara.
“Program ini merangkumi 10 bidang kemahiran dalam sektor teknologi dan kejuruteraan dengan kurikulum berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan industri,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah kementerian menangani kadar pengangguran belia yang tinggi dan kini dianggarkan mencecah hampir 300,000 orang.
Chee Keong berkata, selain program sepenuh masa, JTM turut memperluaskan penawaran Program Separuh Masa melalui Kursus Jangka Pendek (KJP) bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja sedia ada dan komuniti setempat termasuk golongan belia meningkatkan kemahiran.
“Kursus ini ditawarkan secara bersemuka dalam talian atau hibrid bagi memastikan akses lebih meluas,” katanya. – UTUSAN











