KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan menaikkan umur persaraan sektor awam dan swasta daripada 60 kepada 65 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu diputuskan mengambil kira hasil Rangka Tindakan Penuaan Nasional di bawah Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini menjalankan kajian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kajian itu meliputi aspek kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat pegawai muda serta implikasi fiskal jangka pendek dan panjang.
“Umur persaraan ketika ini masih kekal pada usia 60 tahun sebagaimana termaktub dalam Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Akta 239),” jelasnya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum pelaksanaan, antaranya cadangan kenaikan umur persaraan dilakukan secara berperingkat.
“Pegawai juga perlu diberi pilihan untuk bersara lebih awal, manakala yang memilih bersara pada usia 65 tahun hendaklah lulus pemeriksaan kesihatan serta ujian psikometrik.
“Prinsip melanjutkan usia persaraan adalah bagi mengekalkan pegawai yang berkompetensi dan benar-benar diperlukan kerajaan,” katanya.
Dr. Zaliha berkata, kerajaan mengambil pendekatan komprehensif bagi menentukan umur persaraan yang sesuai, dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara dalam jangka pendek dan panjang.
“Setiap keputusan mesti holistik dan seimbang, mengambil kira kepentingan negara serta kebajikan penjawat awam secara keseluruhan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, menurut Zaliha, kajian Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) menjangkakan jumlah warga emas di ibu negara meningkat kepada 17.3 peratus pada 2040.
Katanya, PSKL 2040 mencadangkan penyediaan rumah persaraan berdikari, rumah dengan bantuan perubatan dan rumah penjagaan.
“Setakat ini, lapan tapak Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) dikenal pasti termasuk dua di Bukit Bintang, iaitu di Pekan Salak Selatan dan Wayfield Sungai Besi, untuk ditawarkan kepada golongan tidak berkemampuan termasuk warga emas.
“Selain itu, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) turut mencadangkan pembangunan semula perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menambah sekurang-kurangnya 20 peratus unit kediaman mampu milik,” katanya. – UTUSAN










