KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memastikan pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi impak langsung kepada produktiviti, ekonomi, serta pendapatan rakyat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, strategi tersebut melibatkan pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat, peningkatan kepercayaan digital, dan kerjasama rentas kementerian, selain pelaksanaan pelan AI nasional yang telah digariskan.
“Kita ada plan, roadmap dan sebagainya. Tetapi soalnya, adakah kita wujud struktur yang membolehkan kita melihat pelan-plan ini semua berjaya? itu sebab kita wujudkan Kementerian Digital.
“Kementerian Digital ini suatu yang agak berbeza di mana ia melihat kepada semua aspek merentasi semua kementerian.
“Bayangkan kalau kita ada data merentas seluruh kerajaan, seluruh masyarakat, seluruh industri dan sebagainya, di mana data ini kita boleh menggunakan cross-sector data untuk kita memperkasakan industri-industri tersebut.
“Itu yang kita mahu wujudkan dan ini hanya dapat diwujudkan kalau kita ada kementerian yang fokus kepada aspek itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (DAP-Ipoh Timor) yang meminta kementerian menjelaskan manfaat kepada negara daripada segi peningkatan dan pemerkasaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan isu rumah dan pendapatan individu daripada pelan-pelan yang dirangka Kementerian Digital.
Mengulas lanjut, Gobind turut memaklumkan hasil sumbangan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi separuh tahun pertama 2025, sektor AI telah berjaya menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 dan berpotensi mewujudkan 6,920 peluang pekerjaan.
Pada ketika ini juga, NAIO dengan kerjasama MyDigital menyelaras penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN bermuka hari ini sehingga 13 Ogos dimana ia akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kepimpinan dan kerjasama serantau dalam bidang AI. – UTUSAN










