KUALA LUMPUR: “Kalau saya kata Pas ajaran sesat, marah tak?.”
Pertanyaan Ahli Parlimen RSN Rayer (DAP-Jelutong) itu memanaskan suasana persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Kekecohan berlaku apabila beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangkit menuntut Rayer menarik balik kenyataan tersebut selain menggelar beliau sebagai kurang ajar.
“Ini kena tarik balik, ini akan menimbulkan sikap bermusuh-musuhan. Saya geram ni, kalau saya jumpa dekat luar pun memang saya cari orang macam ini. Dia tuduh kita parti ajaran sesat. Kurang ajar,” tempik Shahidan.
Suasana `panas’ persidangan bermula susulan pantun wakil rakyat Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang mengaitkan masalah dihadapi kerajaan hingga berlarutan ke Sabah disebabkan adanya DAP, Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain dalam blok kerajaan.
Pantun tersebut berbunyi: “Dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah, tempat Kuala Lumpur ini punca masalah, di bawah DAP, PH dan rakan-rakannya, pergi ke Sabah, Sabah nak dijadikan mangsa, berlaku jenayah yang memalukan dan mengerikan.”
Kenyataan Abdul Hadi itu membangkitkan rasa tidak senang kalangan Ahli Parlimen blok kerajaan termasuk Rayer yang mengajukan pertanyaan tersebut.
Kekecohan berlarutan apabila Rayer kembali bangun selepas Young Syefura Othman (DAP-Bentong) berbahas, dengan memaklumkan beberapa Ahli Parlimen PAS membuat provokasi terhadapnya dengan berdiri di pintu belakang dan mencabar beliau supaya keluar Dewan.
“Beberapa Ahli Parlimen Pas berdiri di pintu belakang dan meminta saya keluar untuk bergaduh dengan mereka, semua lihat. Jadi, saya keluar dan tanya apa masalah mereka.
“Ini merupakan satu provokasi yang mencabar hak saya untuk bersuara, dan saya tidak berlaku kurang sopan terhadap Marang. Saya hormati dia sebagai tok guru, pemimpin parti Pas dan saya tak minta beliau tarik balik, bolehkah Marang mengatakan Kuala Lumpur bermasalah kerana ada DAP, PH dan BN? Itu persoalan saya, ” kata wakil rakyat DAP itu.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang kembali mempengerusikan majlis daripada Timbalan Speaker Dewan, Suhaizan Kaiat, mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa kekecohan berlaku tidak selari semangat inginkan negara yang maju.
Beliau yang berusaha menenangkan keadaan, memaklumkan akan meneliti rakaman kamera litar tutup (CCTV) Dewan berhubung dakwaan Rayer, dan menyambung semula sesi perbahasan RMK-13. – UTUSAN










