KUALA LUMPUR: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir perlu dijalankan secara terbuka dan membabitkan ahli keluarganya.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, kehadiran keluarga dalam prosiding itu penting bagi memastikan proses mencari kebenaran berlangsung dengan telus tanpa menimbulkan sebarang spekulasi.
Katanya, inkues yang dijadualkan bermula bulan depan wajar dibuka kepada umum kerana masyarakat masih dibelenggu pelbagai persoalan dan teori konspirasi berkaitan kes berkenaan.
“Inkues ini harus dipastikan tidak dilakukan secara tertutup, sebaliknya memberi peluang kepada keluarga Zara untuk hadir sama.
“Dalam keadaan 1,001 persoalan dan teori konspirasi berlegar, inkues terbuka adalah kaedah terbaik untuk menentukan punca kematian dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes ini,” katanya ketika sesi perbahasan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) turut menyokong agar ibu Zara diberi peluang menyertai inkues tersebut.
Katanya, prosiding itu mesti dikendalikan dengan penuh integriti oleh semua pihak bagi memastikan keadilan ditegakkan serta menjadi asas kepada penambahbaikan prosedur siasatan dan keselamatan awam.
“Tujuan inkues bukan sekadar mencari siapa yang bersalah, tetapi untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang, selain menjadi panduan kepada agensi berkaitan.
“Saya sokong tuntutan supaya ibu Zara dilibatkan. Harapan saya, mahkamah akan mengendalikan inkues ini dengan penuh integriti supaya ia tidak berakhir seperti kes Teoh Beng Hock,” katanya. – UTUSAN









