KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dijangka dibawa ke sidang Parlimen akan datang sekiranya mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, langkah itu bertujuan bagi memperkukuh tadbir urus yang baik serta meningkatkan akauntabiliti perkhidmatan awam, sekali gus menyatukan fungsi pengendalian aduan awam dan pemantauan integriti agensi penguatkuasaan di bawah satu entiti.
“Dapatan daripada sesi libat urus (SLU) tersebut telah diperhalusi melalui bengkel dasar bagi membentuk kerangka Ombudsman yang menyeluruh. Kertas dasar itu akan dibawa untuk pertimbangan muktamad Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Kerajaan yakin inisiatif ini dapat meningkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti perkhidmatan awam, di samping memperkukuh keyakinan rakyat, pelabur serta komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia menegakkan tadbir urus baik dan perlindungan hak asasi manusia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johari (DAP-Bangi) yang meminta kerajaan menjelaskan status penubuhan Ombudsman Malaysia serta langkah-langkah seterusnya yang dirancang bagi mempercepatkan pelaksanaannya susulan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan.
Pada 12 Jun tahun lalu, Jemaah Menteri memutuskan pelaksanaan SLU cara menyeluruh selama setahun bermula Julai 2024 hingga Julai 2025 bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
Sebanyak enam sesi SLU telah diadakan di seluruh negara melibatkan ratusan peserta selain penanda aras antarabangsa berpandukan model dari Australia, New Zealand, Indonesia dan Timor-Leste.
Antara perkara dibincangkan termasuk struktur dan komposisi, skop aduan, pengecualian bidang kuasa, pembahagian kuasa Persekutuan Negeri, tempoh pelantikan serta skop salah laku. – UTUSAN










