KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung selama 10 hari mulai hari ini dari Dewan Rakyat susulan insiden pergaduhan dengan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, minggu lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau telah meneliti bukti-bukti yang diberikan oleh unit teknikal Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan tersebut.
Pada masa sama, katanya, beliau sendiri melihat apa yang sedang berlaku pada 13 Ogos lalu membabitkan Ahli Parlimen Pendang tersebut.
“Kenapa saya ambil tindakan kepada Pendang hari ini kerana pertama waktu itu saya yang mempegerusikan majlis, saya tengok apa yang berlaku.
“Kedua, saya amat kecil hatilah Pendang ya (kerana) penuh galeri itu dengan budak-budak sekolah, kita bercakap (mengenai) perlakuan anak-anak kecil di sekolah, bagaimana tidak bersantun tetapi kita sendiri depan budak-budak (menunjukkan penumbuk), ia tidak baik.
“Saya yakin Pendang juga anak-anak yang sudah berumahtangga kan, tentu mungkin ada cucu sekarang, bayangkan cucu tengok Tok Wan sekarang, ia tidak baik, ia tidak baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Oleh demikian, Johari berkata, beliau memerintahkan Awang Hashim untuk meninggalkan Dewan Rakyat selama 10 hari mulai hari ini.
Menjelaskan keputusan itu, beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Pendang itu dibuat mengikut Peraturan 44(2) kerana menghina Majlis Mesyuarat.
Sebelum ini ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) minggu lalu, berlaku kekecohan apabila Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengakhiri ucapannya dengan pantun yang menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutamanya dari DAP, meletakkan jawatan dalam kerajaan.
Kenyataan itu mencetuskan provokasi antara Awang Hashim dengan Rayer sehingga Ahli Parlimen Pendang mencabar di luar Parlimen. – UTUSAN










