KUANTAN: Pahang melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menganjurkan kejohanan memancing peringkat antarabangsa, Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025, bertempat di Jeti Shahbandar di sini.
Acara anjuran Persatuan Memancing dan Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang itu menarik penyertaan pemancing dari dalam dan luar negara, khususnya peminat aktiviti memancing sotong green eye yang terkenal dengan cabaran unik serta nilai komersial tinggi.
Sotong green eye dikenali kerana corak badannya yang berwarna-warni dan menarik, menjadikannya mudah dikenal pasti dalam kalangan spesies lain. Keupayaannya menyesuaikan diri dengan persekitaran laut menjadikan ia sukar ditangkap, sekali gus memberi cabaran sebenar kepada para pemancing berpengalaman.
Majlis pelepasan kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.
Pertandingan yang bertemakan penyertaan berpasukan itu membenarkan maksimum lima peserta bagi setiap kumpulan dengan yuran penyertaan RM2,500. Para peserta berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, trofi dan barangan tajaan.
Pahang sememangnya terkenal dengan keindahan persisiran pantainya yang membentang sejauh 210 kilometer dari Kuantan hingga ke Rompin, menjadikannya destinasi pelancongan maritim yang berpotensi tinggi. Daerah Rompin pula sudah lama dikenali di peringkat antarabangsa sebagai lokasi utama aktiviti memancing ikan layaran, yang menjadi tarikan utama kepada pemancing tegar dari seluruh dunia.
Menurut penganjur, kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan sukan memancing sebagai aktiviti rekreasi dan pelancongan, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat termasuk nelayan, pengusaha bot, peniaga kecil serta penyedia perkhidmatan pelancongan.
“Kami berhasrat menjadikan Pahang International Green Eye Squid Hunting sebagai acara tahunan yang ikonik, sekali gus meletakkan Kuantan di peta pelancongan maritim antarabangsa,” kata Yu Man. – UTUSAN