SUBANG JAYA: “Salah satu hasrat arwah dahulu mahu bawa nama kami adik beradik dikenali bersama kerana kami semua berbakat dalam nyanyian.”
Demikian kata kakak sulung kepada penyanyi Allahyarham Achik Spin, Nurul Azua Md. Shari yang merupakan peserta Kilauan Emas kelapan (KE8).
Menurut Nurul, tekadnya hanya mahu melakukan yang terbaik di pentas gah dengan membawa semangat arwah adiknya yang telah meninggal dunia 15 tahun lalu.
“Apabila memasuki pertandingan sebegini, saya tak dapat jangka apa-apa tapi apa pun saya akan cuba melakukan yang terbaik.
“Apa yang saya bekalkan bersama adalah semangat arwah yang memang mahu melihat saya bangkit dan senang bersama.
“Ini kerana kami adik beradik sangat rapat. Saya ibarat pengganti ibu untuk menguruskan adik-adik di saat dia bekerja,” katanya ketika ditemui pada sidang media KE8, pada Selasa.
Dalam masa sama, Nurul sempat berkongsi sehingga kini dirinya masih lagi tidak mampu mengawal air matanya setiap kali mendengar lagu nyanyian arwah Achik meskipun sudah reda dengan pemergiannya.
“Saya reda tetapi setiap kali mendengar nyanyian arwah terus timbul rasa hiba, malah kalau lagunya dimainkan di radio terus saya tutup. Pernah di sebuah pasaraya lagunya dimainkan, saya terus meraung.
“Sampai sekarang saya elakkan diri dengar lagu arwah. Bukan tak nak dengar, cuma saya memang sedih. Tak boleh langsung,” ceritanya.
Ditanya sama ada dirinya sudah bersedia untuk menyanyikan lagu Allahyarham Achik di program realiti itu, Nurul mengakui dirinya sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.
“Sebenarnya kalau bawa lagu rancak kesedihannya tidak terasa sangat. Sebelum ini, saya ada juga menyanyi dengan anak.
“Tapi lagu sedih macam Tragedi Cinta, Benang Emas memang saya tak nyanyikan lagi sebab lagu itu adalah kisah dia. Jadi perasaan kita pun terusik sama,” ujarnya.
Pada 17 April 2010, Achik atau Abdillah Murad Md. Shari menghembuskan nafas terakhir selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS).
Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat kemalangan tersebut
Ketika itu, kumpulan Spin yang mencetuskan fenomena sejak ditubuhkan sekitar 1990-an meledak dengan lagu seperti Janji Kita, Kasih Ibu, Malam Semakin Dingin dan Mengusung Rindu.
Musim kali ini, KE8 menyaksikan 11 lagi peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun termasuk Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay.
Program realiti tersebut dikendalikan dikendalikan personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama bersama Joey Daud selaku pengacara belakang tabir.
Lebih menarik lagi, penyanyi, Erra Fazira dan pelawak, Roy Azman tetap mengekalkan kedudukan mereka sebagai juri tetap bersama Ning Baizura selaku juri baharu musim ini.
Bersiaran setiap Sabtu di Astro Prima (Salura