Niat orang kita tidak tahu - Nabila Razali hati-hati kongsi gambar anak - Utusan Malaysia

Niat orang kita tidak tahu – Nabila Razali hati-hati kongsi gambar anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali mengakui dirinya masih berhati-hati untuk memuat naik foto anak sulungnya, Nik Muhammad Nik Iruwan yang kini berusia tujuh bulan.

Kata Nabila, dia berbuat demikian demi mengelakkan putera kesayangannya terkena penyakit ain bahkan lebih selesa untuk menghadkan perkongsian mengenai anak di media sosial.

“Saya tidaklah kerap berkongsi gambar anak. Saya juga masih memilih bila mahu berkongsi perkembangannya sebab bukan setiap hari saya memuat naik gambarnya.

“Kalau penyakit ain itu kita memang tidak boleh elak. Niat orang kita memang tidak tahu. Kita hanya mampu berdoa supaya mereka jadikan gambar itu sebagai tatapan.

“Saya juga berkongsi bukan kerana mahu menunjuk mahupun riak,” katanya ketika ditemui di sidang media drama mini Senyuman, pada Isnin.

Mengakui bimbang dengan perkara tersebut, penyanyi lagu Peluang Kedua itu juga menegaskan niatnya berkongsi wajah anaknya sebelum ini sekadar memenuhi permintaan peminat.

“Masih ada kerisauan itu sehingga sekarang. Sebelum ini, saya kongsi gambar sekadar mahu menunaikan permintaan peminat.

“Saya rasa tidak elok biarkan peminat tertunggu-tunggu jadi saya kongsi semasa akikah anak saya,” jelasnya.

Ditanya mengenai keinginannya untuk membuka akaun media sosial untuk anak, Nabila memilih untuk tidak melakukan sedemikian demi menjaga privasi anak dan keluarga tersayang.

“Buat masa sekarang, saya masih belum terfikir lagi mahu buka akaun media sosial anak. Saya masih mahu menjaga privasi anak dan keluarga kecil saya.

“Kalau dah sampai masa nanti, saya akan buka akaun anak terus,” ujarnya.

Mengulas mengenai drama mini Senyuman, Nabila yang memegang watak sebagai June turut digandingkan bersama pelakon filem Jack Tan dan Jian Wei.

Drama bersiri itu bakal ditayangkan di seluruh platform media sosial dan YouTube McDonald’s Malaysia bermula 7 Ogos ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN