Nabila Razali tersentuh baca kes dera kanak-kanak, risau mahu tinggalkan anak - Utusan Malaysia

Nabila Razali tersentuh baca kes dera kanak-kanak, risau mahu tinggalkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, mengakui hatinya mudah tersentuh mendengar berita buruk melibatkan kanak-kanak apalagi selepas bergelar ibu. 

Nabila atau Nur Nabila binti Mohd Razali, 32, tidak menafikan isu jenayah terhadap kanak-kanak membuatnya semakin risau setiap kali mahu meninggalkan anaknya, Nik Muhammad Bin Nik Iruwan, 5, di bawah jagaan orang lain.

“Saya jadi sangat mudah tersentuh selepas tengok berita sekarang dengan kes buli, kes anak kena dera. Semua itu sangat merisaukan saya lebih-lebih lagi mahu meninggalkan anak di bawah jagaan sesiapa.

“Bukan tidak percaya, tapi saya fikir apa-apa pun, biarlah anak berada di tangan kita sendiri, bukan di tangan orang lain kan. Kita tak nak menyesal kemudian hari,” ujarnya.

Nabila yang mesra disapa sebagai Bella ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media Karnival BMC Family 360° di pusat beli-belah BMC Mall, pada Khamis.

Malah menurut penyanyi Peluang Kedua itu, dia dan suami, Nik Iruwan Nik Izani telah sepakat untuk tidak terlalu memuat naik hantaran mengenai anak bagi melindungi privasi.

“Saya dan suami memang akan kongsi mengenai anak apabila perlu sahaja. Niat kami bukanlah mahu menjadikan anak sebagai kandungan harian atau tontonan umum.

“Pernah juga saya ‘terlepas’ tapi suami akan tegur kalau boleh hadkan perkongsian dan beri peringatan bahawa privasi anak perlu sentiasa diutamakan,” jelasnya lagi.

Walau bagaimanapun, penyanyi itu memahami keinginan peminat yang bertanya khabar mengenai anaknya. Oleh itu, beberapa hantaran dikongsikan sekadar mahu menjawab pertanyaan peminat dan bukannya untuk meraih perhatian.

“Saya perlu faham juga apabila sudah bergelar selebriti orang mesti mahu tahu khabar anak. Jadi saya fikir tidak mengapalah sesekali jawab soalan mereka. 

“Itu sahajalah niat saya. Saya pun faham sekarang ada buli siber dan macam-macam lagi. Saya takut juga benda-benda macam itu. Harapnya saya tak terjebaklah (dengan trend mendedahkan anak secara berlebihan),” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Bella telah dilantik sebagai jurucakap bagi Karnival BMC Family 360° yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 September di pusat beli-belah BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras.

“Saya tertarik menjadi jurucakap kerana matlamat acara ini bukan sekadar hiburan tapi medekatkan masyarakat dengan mesej kemampanan (sustainability) khususnya untuk keluarga dan kanak-kanak. 

“Keistimewaannya karnival itu juga  ia tidak hanya untuk ibu bapa dan anak-anak, tetapi semua lapisan umur dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, zumba, dan ceramah pendidikan.

“Saya juga akan tampil membuat persembahan dengan menyanyikan beberapa buah lagu pada hari kedua festival ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN