CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Myanmar mampu menuju ke arah gencatan senjata sekiranya semua pihak terus komited mendukung peranan ASEAN sebagai pengantara dan pemudah cara keamanan.
Perdana Menteri berkata, kemajuan awal telah dicapai dalam usaha meredakan konflik di Myanmar, khususnya melalui pertemuan dan perbincangan yang sedang diatur bersama Menteri Luar Thailand dan Indonesia.
“Kami akan berkunjung ke Myanmar dalam masa terdekat untuk menegaskan kepentingan menghentikan keganasan, memulakan gencatan senjata dan menggalakkan dialog antara semua pihak berkepentingan.
“Langkah ini penting untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari ASEAN 2025, di sini hari ini.
Menurut Anwar, mandat dan sokongan padu semua pemimpin ASEAN memberi kekuatan tambahan kepada Malaysia dalam memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Apabila saya menyampaikan pandangan kepada pemimpin Myanmar, mereka sedar ia datang dengan mandat penuh ASEAN.
“Ini menjadikan saranan kita diambil serius dan memberi ruang lebih besar untuk mencapai hasil positif,” katanya.
Menyorot kejayaan ASEAN memeterai gencatan senjata pantas dan berkesan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, pencapaian itu menjadi bukti kemampuan ASEAN bertindak pantas dalam merungkai pertikaian serantau.
“Sejarah gencatan senjata dunia jarang menyaksikan kejayaan sepantas ini. Ia membuktikan kekuatan kepercayaan, kerjasama dan kesediaan bertindak dalam kerangka ASEAN.
“Kejayaan ini memberi isyarat positif untuk kita membantu Myanmar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Amerika Syarikat dan China atas komitmen mereka dalam menyokong usaha keamanan di rantau ini, di samping menegaskan bahawa penyelesaian kekal hanya dapat dicapai melalui persefahaman dalaman negara terbabit, dipandu oleh ASEAN.
“Jika ini permulaan yang baik, ia memberi petanda bahawa ASEAN mampu melakar strategi geopolitik yang lebih mantap pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan, keamanan serantau adalah amanah besar yang perlu dipikul bersama, sejajar dengan semangat pengasas ASEAN yang menekankan hidup dalam semangat muhibah, kerjasama dan saling menghormati. – UTUSAN