My Song To You didedikasi untuk arwah adik - Yah Kuchai - Utusan Malaysia

My Song To You didedikasi untuk arwah adik – Yah Kuchai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas mencipta fenomena menerusi watak Yah Kuchai dengan dialog ‘mi kari kuah laksa’ dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid, pelakon Afea Deanna atau lebih mesra disapa Yah Kuchai kini tampil dengan sisi berbeza apabila muncul sebagai penyanyi dan penulis lagu.

Afea atau nama lengkapnya Afea Deanna Baharudean, 25, berkata lagu berjudul My Song To You itu bukan sekadar percubaan dalam bidang nyanyian, sebaliknya merupakan luahan isi hati yang dedikasi khas buat arwah adik bongsunya yang meninggal dunia tiga tahun lalu akibat penyakit Rett Syndrome.

“Lagu ini saya tulis khas untuk arwah adik saya. Walaupun melodinya kedengaran catchy dan bernada ceria tapi maknanya sangat mendalam kerana ia mengandungi luahan perasaan yang saya pendam selama ini.

Afea berkata, karya tersebut menggambarkan segala rasa yang dipendam sejak pemergian adiknya termasuk impian-impian kecil yang tidak sempat direalisasikan.

“Semuanya tentang perkara yang saya ingin lakukan bersama arwah sebelum dia meninggal dunia, tetapi tidak kesampaian. Saya teringin nak bawa dia jalan-jalan, ajar cara berdiri tapi tak dapat,” ujarnya.

Tambahnya, proses penulisan lagu tersebut dilakukan dalam keadaan yang cukup mendesak kerana kekangan masa dan komitmen kerja lain.

“Saya diberi masa dua bulan untuk buat lagu ni, tapi saya tulis lirik lagu ni pada minit terakhir sebab terlalu sibuk. Saya ambil masa dua jam sahaja untuk siapkan lagu ni dan keesokannya terus rekod.

“Lagu ini bukan sekadar karya suka-suka, tapi luahan yang saya tak pernah kongsi dengan sesiapa termasuk ibu bapa saya sendiri,” katanya.

Katanya, pemilihan bahasa Inggeris untuk single pertama juga dibuat bagi memberi kelainan dalam industri muzik yang menurutnya terlalu banyak didominasi oleh lagu Melayu dan ingin tampil berbeza daripada penyanyi lain.

“Saya sudah biasa menulis dalam bahasa Inggeris sebab latar belakang saya adalah Diploma Bahasa Inggeris di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Jadi, saya lebih mudah menyampaikan sesuatu dalam bentuk puisi dan emosi saya dengan berbahasa Inggeris.

“Biasanya kita tengok lagu pertama orang akan keluarkan dalam Bahasa Melayu, tapi saya pilih untuk buat kelainan. Saya nak cipta identiti dan ruang sendiri sebagai pendatang baharu dalam dunia nyanyian,” ujarnya.

My Song To You disokong oleh dua label berpengaruh, Budak Records dan Sony Music Malaysia, serta ditulis sendiri oleh Afea dengan sentuhan tiga komposer, Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia.

PERSAINGAN
Biarpun kini dilihat sebagai penyanyi baharu, Afea menegaskan dia tidak melihat dirinya bersaing dengan sesiapa, sebaliknya sekadar mahu berkongsi karya dengan jujur.
“Sejujurnya, Afea akui Afea bukanlah seorang penyanyi. Jadi saya tidak rasa tersaing sangat dengan mereka. Saya pun bukan sejenis orang yang kompetitif sangat dan saya mudah bergaul dengan semua orang.
“Saya cuma nak berkarya dan luahkan apa yang ada dalam hati saya sahaja,” ujarnya.
Afea turut menghargai sokongan peminat yang menerima baik percubaannya sebagai penyanyi, meskipun ramai tidak menyangka dia mampu tampil dengan lagu berbahasa Inggeris ciptaan sendiri.
“Ramai peminat terkejut apabila saya tampil dengan lagu sendiri. Mereka tidak sangka saya boleh menulis dan menyampaikan lagu.
“Namun, pada masa yang sama, ramai yang memberi sokongan positif. Tiada komen negatif atau pandangan yang mengecilkan, sebaliknya semuanya menyokong dengan baik dan menghargai usaha saya,” ujarnya.

LAKONAN?
Berkongsi pula mengenai perjalanan seninya dalam dunia lakonan, biarpun dikenali menerusi watak-watak komedi di kaca televisyen, Afea menafikan hasrat beralih sepenuhnya ke bidang nyanyian.
“Saya akan lihat sahaja takdir dan hala tuju hidup saya dalam industri nyanyian ini. Kalau penerimaan baik, saya akan kekal menyanyi.

“Saya masih aktif berlakon dan tidak pernah tinggalkan bidang itu. Cuma sekarang saya nak cuba pelbagaikan bakat, bukan kekal satu cabang sahaja.

“Orang biasa tengok saya melawak bawa karakter Yah Kuchai tu. Tapi bila mereka dengar saya menyanyi, ramai yang terkejut dan tak sangka saya boleh menyanyi serta menulis lagu sendiri,” katanya.

Katanya, watak ‘Yah Kuchai’ yang sinonim dengannya dijangka akan muncul semula dalam masa terdekat menerusi sebuah projek istimewa yang masih dirahsiakan pihak produksi.

“Ramai rindu watak tu, Insya-Allah akan muncul balik nanti. Tunggu masa yang sesuai,” katanya ringkas.

Sepanjang tempoh empat tahun dalam industri lakonan, Afea mengakui dirinya masih belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai watak utama, namun tetap terbuka jika diberi peluang.

“Buat masa ini, saya belum berani ambil watak utama, tetapi jika ada rezeki, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan lakonan yang memuaskan.

“Saya lebih selesa membawa watak sampingan kerana bagi saya, tanpa watak sampingan, watak utama pun tidak akan menjadi. Watak sokongan itu tetap penting dalam menggerakkan jalan cerita,” katanya.

Afea kini baru sahaja selesai penggambaran untuk beberapa projek termasuk sitkom Kedai Burger Hujung Simpang dan sebuah filem seram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN