CYBERJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menzahirkan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam usaha meneroka potensi tenaga nuklear di negara ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, tenaga nuklear adalah antara bidang strategik yang telah lama diberi tumpuan.
Malah, katanya, sebelum ini MOSTI telah memainkan peranan penting dari aspek pembangunan teknologi, bakat dan kerangka regulatori.
“Penerokaan bidang nuklear itu bukan sesuatu yang baharu. Sudah tentu kami (MOSTI dan PETRA) telah berbincang tentangnya.
“Tetapi kali ini dengan sokongan jelas kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita mengorak langkah secara menyeluruh dan terancang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Diploma Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 baru-baru ini memaklumkan kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.
Menurutnya, kerajaan kini sedang melaksanakan penilaian secara terancang bagi meneliti peranan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan sumber elektrik bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, pihaknya turut memainkan peranan sama dalam pembangunan industri strategik lain seperti unsur nadir bumi (REE) dengan fokus kepada pembangunan teknologi, bakat dan kerangka regulatori.
Katanya, kementerian juga sedang bersiap sedia melaksanakan pelbagai inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang digariskan dalam RMK13 sebagai sebahagian usaha melonjakkan negara ke arah status ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
“Sebagai kementerian pelaksana, kami akan all out membantu negara membangun dan maju dalam pelaksanaan STI ini,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Lih Kang berkata, Malaysia telah menyatakan komitmen untuk memajukan diplomasi sains sebagai tonggak kerjasama serantau.
“Ia selaras Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta peranan proaktif Malaysia dalam merangka Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026–2035 yang baharu,” katanya. – UTUSAN