BUSAN: Pelakon, Mira Filzah, mencuri tumpuan apabila menjadi selebriti wanita Malaysia pertama yang muncul sebagai penyampai anugerah di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025 pada Ahad.
Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, dalam balutan busana berwarna biru menyerahkan trofi kemenangan untuk kategori People’s Choice Award (Male) yang disandang pelakon asal China, Bai Jingting.
Bai membawa pulang trofi itu menerusi lakonannya dalam drama The First Frost sekali gus mengenepikan saingan terdekatnya Park Bogum (Good Boy), Joo Ji-hoon (The Trauma Code: Heroes on Call), Sakaguchi Kentaro (What Comes After Love), Berik Aitzhanov (4°C) dan Natara Nopparatayapon (Mad Unicorn).
Tidak hanya muncul sebagai penyampai anugerah, drama lakonan aktres itu, Gadis Masa atau Yesterday’s Love turut tercalon untuk kategori Best OTT Original.
Yesterday’s Love tercalon bersama drama hebat lain untuk kategori itu seperti Born for the Spotlight, Family Matters, The First Frost, Nine Puzzles, dan Study Group. Bagaimanapun, nasib menyebelahi Nine Puzzles yang ditayangkan menerusi Netflix untuk kategori tersebut.
Gadis Masa terbitan Viu Malaysia mengisahkan seorang wanita muda yang kembali ke masa lalu untuk menghalang suaminya daripada menceraikannya, namun setiap cubaan menyelamatkan perkahwinannya membawa akibat yang lucu dan tidak dijangka.
International Streaming Festival Global OTT Awards 2025 berlangsung di BIFF Theater, Busan Cinema Center menampilkan 14 kategori yang dipertandingan serta empat kategori undangan, iaitu proses pemilihan yang dilakukan bedasarkan pilihan orang ramai. -UTUSAN