KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang juga Anak kepada usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri, Ammar Ahyyan, mengakui sudah lama menaruh minat terhadap dunia politik.
Bagaimanapun, kata Ammar, buat masa ini dia memilih untuk memberi tumpuan kepada kerjaya selain mahu mengukuhkan kewangan terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang itu.
Remaja berusia 18 tahun itu berkata, minatnya bermula sejak tingkatan dua ketika belajar subjek sejarah di sekolah.
“Saya memang minat politik, tapi saya rasa lebih baik masuk politik selepas kita berjaya dahulu.
“Kalau tak berjaya, nanti timbul keinginan untuk salah guna kuasa atau buat perkara yang tak baik,” katanya.
Ammar menambah, nasihat itu juga selalu diingatkan oleh bapanya sendiri.
“Ayah saya cakap perkara sama. Sebelum jadi ahli politik, kena berjaya dulu.
“Saya berpandangan, biasanya orang yang dah kaya jarang mencuri, tapi kalau susah, risiko untuk salah guna kuasa itu tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, buat masa ini, Ammar berkata, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan dan pengurusan.
Pada masa yang sama, Ammar berkata, dia tidak bercadang menyertai pergerakan pemuda atau gerakan mahasiswa seandainya sudah berada di menara gading kerana mahu menumpukan masa untuk membina kerjaya dan pendapatan sendiri.
“Saya pernah fikir nak masuk pergerakan pemuda, tapi aktiviti itu tak dibayar. Jadi saya rasa lebih baik guna masa untuk buat duit dahulu.
“Bagi saya, jadi ketua ini bukan mudah. Kadang-kadang kena marah, kena maki, kadang sampai baling meja pun ada kalau ada tak puas hati. Tapi itu semua cabaran seorang pemimpin.
“Tetapi itu tidak melemahkan semangat dan cita-cita saya untuk menyertai politik suatu hari nanti.
“Niat saya, selepas kehidupannya lebih stabil saya harap saya mampu membantu masyarakat,”katanya.-UTUSAN