‘Mimpi seorang wanita lepas cerai, Lisa beri ketenangan yang sama’ - Utusan Malaysia

‘Mimpi seorang wanita lepas cerai, Lisa beri ketenangan yang sama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, mengakui berada dalam fasa hidup terendah selepas kegagalan perkahwinan pertamanya bersama primadona, Erra Fazira pada 2006. 

Namun begitu, ketika dia bertekad mahu membina hidup baru, Yusry didatangi mimpi seorang wanita berambut panjang yang membuatnya tenang.

“Saya ada satu mimpi ini, saya tidak nampak wajahnya hanya nampak dari belakang sahaja. Wanita berambut panjang hitam, baju putih. Saya tidak tahu dia siapa. 

“Tapi mimpi itu buat saya jadi sangat tenang tidak tahu kenapa, saya tak jumpa pun orang itu,” katanya dalam satu temu bual audio siar, Too Pretty To Handle yang tular.

Bagaimanapun, keajaiban mimpi itu terjawab sebaik sahaja dia bertentang mata dengan pelakon, Lisa Surihani semasa malam gala filem Hikayat Merong Mahawangsa pada 2011.

Ketika itu, Lisa hadir dalam pakaian kasual seluar jeans dan berbaju putih krim.

“Namun apabila saya jumpa Lisa di dunia nyata, saya dapat perasaan yang sama. Jadi saya fikir orang dalam mimpi itu mesti dia. 

“Mungkin boleh jadi saya salah sebab minda kita kadang boleh memperdayakan. Tapi ketenangan yang saya dapat daripada mimpi, sama ketika berjumpa dengan orang ini (Lisa),” ceritanya.

Perkara itu disahkan Lisa atau Lisa Surihani Mohamed yang ketika itu tidak mengetahui ia merupakan majlis untuk malam gala. Fikir pelakon itu, ia adalah acara tayangan filem biasa.

“Saya tidak diberitahu itu merupakan majlis malam gala. Jadi saya pakai kasual sahaja iaitu seluar jeans dan baju berwarna agak putih. Saya ingat lagi momen sedar silap pakai baju di mana semua di situ berdandan cantik.

“Kemudian Yusry tegur dan saya masih ingat terdetik dalam hati bahawa saya mahu mengenali dia dengan lebih dekat,” ceritanya.

Lisa dan Yusry berkahwin pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN