Bayangkan anda menjejak kaki di sebuah destinasi yang memadukan pelbagai rasa. Keseronokan air, keindahan alam semula jadi, kekayaan sejarah, dan sentuhan moden yang memanjakan. Itulah Bintan, sebuah pulau di Kepulauan Riau, Indonesia, yang hanya sejauh 90 minit perjalanan feri dari Johor.
Perjalanan ini lebih istimewa apabila menginap di The Anmon Resort, sebuah penginapan berkonsepkan glamping mewah yang terletak hanya beberapa langkah dari Treasure Bay.
Dome putih tersusun kemas di tengah lanskap seperti gurun, menawarkan suasana unik yang jarang ditemui di Asia Tenggara. Di dalamnya, bilik berhawa dingin, bilik mandi moden dan dekorasi minimalis memastikan tetamu selesa sambil menikmati pemandangan terbuka yang luas.
Pagi bermula di kawasan Chill Cove, jantung hiburan Treasure Bay Bintan. Dari jauh, kelihatan Crystal Lagoon membentang membiru. Dengan keluasan 6.3 hektar bersamaan 50 kolam renang olimpik ia bukan sahaja lagun buatan terbesar di Asia Tenggara, malah menggunakan teknologi mesra alam. Airnya diambil daripada laut, ditapis rapi sehingga jernih dan lembut pada kulit.
Di sinilah, setiap tetamu bebas memilih cara untuk berseronok. Ada yang mendayung kayak atau stand-up paddle board perlahan-lahan, menikmati pantulan awan di permukaan air. Ada pula yang memilih jalan ‘ekstrem’ dengan menaiki Cable Tube yang ditarik laju oleh bot, atau meluncur deras dari ketinggian di Slip n Slide sebelum terjun ke dalam lagun.
Treasure Bay Bintan juga bukan hanya tentang aksi di permukaan air. Aktiviti seperti Mangrove Tour menawarkan pengalaman berbeza. Anda dibawa menaiki bot menyusuri hutan bakau yang tenang, mendengar cerita tentang flora dan fauna tempatan dan sesekali melihat burung eksotik atau monyet liar di celah rimbunan hijau.
Selepas puas di lagun, masa untuk keluar meneroka sisi lain Bintan bersama Bintan Resorts. Perjalanan membawa anda ke Sand Dunes & Blue Lake, lokasi yang seakan berada di dunia lain. Pasir putih terbentang, ditiup angin seperti gurun mini, sementara tasik biru di tengahnya kelihatan begitu memukau.
Tempat ini kini menjadi salah satu latar bergambar paling popular di Bintan, malah ada pelancong yang datang semata-mata untuk ‘berpose’ di sini.
Dari panorama alam yang luar biasa, kita beralih ke kisah sejarah di Pulau Penyengat. Pulau kecil ini pernah menjadi pusat Kesultanan Melayu-Riau dan menyimpan makam Raja Ali Haji — tokoh besar dalam sejarah bahasa Melayu.
Melangkah di sini membawa anda kembali ke abad ke-18, di tengah bangunan bersejarah seperti Masjid Raya Sultan Riau yang dibina daripada campuran putih telur dan kapur.
Tidak jauh dari situ, 500 Lohan Temple berdiri megah. Ratusan patung Lohan memenuhi perkarangan, setiap satunya dengan ekspresi wajah yang unik. Ada yang tersenyum, ada yang termenung. Ia bukan sekadar tarikan seni, tetapi juga lambang kepelbagaian budaya yang wujud di Bintan.
Petang menjelang, lawatan membawa anda ke Lagoi Bay. Pantai ini memikat dengan pasir putih lembut dan air laut yang jernih. Ada yang memilih bermain banana boat atau paddle board, ada pula yang hanya duduk di tepi pantai sambil menikmati hembusan angin laut.
Menjelang senja, kembali ke The Anmon adalah penutup sempurna. Dari anjung dome, anda boleh menyaksikan cahaya matahari perlahan-lahan menghilang di ufuk, memantulkan rona jingga keemasan di permukaan Crystal Lagoon.
Dan apabila malam tiba, Tipi Bar di kawasan resort menjadi lokasi santai untuk berbual sambil menikmati minuman, atau menyertai Movie Night di ruang terbuka di bawah langit berbintang.
Bintan adalah tempat di mana adrenalin dan alam saling bertaut. Treasure Bay Bintan memberi anda tawa, percikan air dan detik penuh cabaran, sementara Bintan Resorts memperkenalkan anda kepada wajah sebenar pulau ini.
Dari landskap semula jadi yang menakjubkan, hinggalah ke sejarah yang membentuk identitinya. Dengan penginapan unik seperti The Anmon Resort, setiap hari di Bintan menjadi sebuah cerita yang layak diceritakan berulang kali.
Bintan adalah tempat di mana adrenalin dan alam saling bertaut. Treasure Bay Bintan memberi anda tawa, percikan air dan detik penuh cabaran, sementara Bintan Resorts memperkenalkan anda kepada wajah sebenar pulau ini dari landskap semula jadi yang menakjubkan, hinggalah ke sejarah yang membentuk identitinya.
Dan apabila kedua-duanya digabungkan, anda akan pulang bukan hanya dengan gambar cantik, tetapi dengan kisah yang ingin diceritakan berulang kali.