Menangis tidak henti punca bayi didera hingga maut

Menangis tidak henti punca bayi didera hingga maut

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menangis tidak henti dipercayai punca seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan didera hingga maut oleh ibu bapa angkatnya di sebuah kondominium di Cheras, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, motif tersebut diperoleh hasil soal siasat terhadap pasangan suami isteri terbabit.

“(Kejadian) berpunca apabila mangsa dipercayai menangis tidak henti membuatkan ibu angkat berasa tertekan lalu menganiaya mangsa.

“Kematian mangsa berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada keseluruhan badan mangsa terutama pada bahagian kepala iaitu retak tengkorak.

Difahamkan, suspek lelaki berusia 50 bekerja sebagai jurujual manakala isterinya berusia 38 merupakan suri rumah.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di Cheras dekat sini.

Mohamed Usuf dilaporkan berkata, ibu kandung bayi berkenaan merupakan seorang wanita warga Indonesia.

Beliau dilaporkan berkata, bayi itu dipercayai diserahkan kepada suspek sejak 18 Jun lalu sebelum ibu kandungnya pulang ke Indonesia.

Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa angkat bayi itu kira-kira pukul 9.34 malam pada 30 Julai lalu.

Lelaki itu memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tanpa sebab yang diketahui.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN