MELAKA: Melaka kini berdepan peningkatan kes penyakit berjangkit, denggi, isu kesihatan mental.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keadaan tersebut secara tidak langsung memberi tekanan terhadap kapasiti fasiliti kesihatan yang sedia ada di negeri ini.
Menurutnya, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 23,478 kes penyakit berjangkit direkodkan di Melaka meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pula terus mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 9,308 kes, diikuti Covid-19 dengan 1,792 kes dan demam denggi membabitkan sebanyak 729 kes.
“Statistik ini bukan sekadar angka, tetapi memberi isyarat jelas bahawa tanggungjawab dan peranan warga kesihatan semakin mencabar.
“Menyahut keperluan ini, kerajaan negeri komited untuk terus mendukung ekosistem kesihatan negeri yang responsif dan menyeluruh, termasuk menjaga kebajikan semua petugas barisan hadapan yang menjadi banteng kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM45.49 juta ringgit untuk menaik taraf fasiliti kesihatan melibatkan 34 klinik kesihatan, tujuh klinik pergigian, tiga klinik desa dan tiga hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Seramai 2,000 kakitangan termasuk 214 pesara daripada pelbagai skim di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dirai pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, sebanyak RM150,000 diperuntukan terhadap penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, khusus bagi pelaksanaan program-program kesihatan di peringkat negeri sebagai sokongan aktif terhadap Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
“Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 di bawah inisiatif Bajet 2025 untuk bantuan dialisis kepada rakyat Melaka,” katanya. – UTUSAN










