McDonald’s Malaysia umum bayaran zakat RM2 Juta tahun 2025  

McDonald’s Malaysia umum bayaran zakat RM2 Juta tahun 2025  

AHMAD Fauwaz Fadzil menyaksikan penyerahan zakat korporat daripada Azmir Jaafar (kanan) kepada Abdul Hakim Amir Osman (kiri) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menyerlahkan peranan sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, McDonald’s Malaysia mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta pada tahun ini.

 Buat julung kalinya, McDonald’s Malaysia akan menjelajah kesemua 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat kepada pusat-pusat zakat negeri masing-masing, dengan majlis berlangsung di restoran-restoran McDonald’s terpilih.

 Menerusi salah satu majlis penyerahan yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 Selasa lalu, McDonald’s Malaysia mengumumkan sejumlah RM300,000 bayaran zakat untuk disumbangkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

 Penyerahan itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman sambil disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil.

 Menurut Datuk Azmir, sejak 2017 McDonald’s Malaysia menjadi syarikat 100 peratus milik orang Islam, syarikat ini telah mengeluarkan zakat sebanyak RM14 juta.

 “McDonald’s Malaysia amat bersyukur dapat melunaskan pembayaran zakat yang menjadi sebahagian daripada rukun Islam kita.

 “Istimewanya pada tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, tetapi juga berkongsi kesyukuran ini bersama masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan dan menyantuni pelanggan yang sentiasa menyokong kami selama ini,” katanya.

 Bagi pihak PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim berkata, beliau amat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan.

 Katanya, selain merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat ini juga membantu pihaknya untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan.

 “Kami berharap, lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” katanya.  

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil juga memuji sikap McDonald’s Malaysia yang istiqamah membayar zakat sambil menyatakan ia sepatutnya dijadikan contoh perniagaan yang mementingkan aspek keberkatan dan keuntungan dalam ekonomi Islam.

“Saya menyatakan dua aspek ini supaya masyarakat dan McDonald’s Malaysia atau mana-mana syarikat korporat menitikberatkan  tentang dua unsur penting dalam perniagaan Islam iaitu keberkatan dan keuntungan.

“Dan hari ini saya ucapkan tahniah kepada McDonald’s kerana melaksanakan tugas dan menyatakan asas kelestarian umat,” katanya.

“Bayangkan 20,000 orang Islam yang bekerja di McDonald’s mampu menyelamatkan keluarga mereka, mampu untuk makan dan hidup, mampu untuk beribadat, mampu untuk membahagiakan keluarga dan kebahagiaan tidak akan datang melainkan dengan dua perkara iaitu takwa dan duit

Pada majlis sama, McDonald’s Malaysia turut berbesar hati menyumbangkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf sebagai bantuan terus bagi meringankan beban mereka.

 Bagi tujuan itu, McDonald’s Malaysia bersama PPZ-MAIWP turut menjalankan program ziarah rumah ke rumah untuk menyantuni serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada yang memerlukan di sekitar Putrajaya.

 Selain itu, syarikat turut menyediakan 1,000 hidangan percuma di setiap lokasi, termasuk Putrajaya, untuk berkongsi kesyukuran dengan pelanggan yang hadir dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan terhadap perniagaan syarikat selama ini.

 Terdahulu, McDonald’s Malaysia turut menjelajah ke Negeri Perak, Terengganu dan Selangor bagi menjayakan majlis penyerahan zakat ini kepada Majlis Agama Negeri masing-masing.

 Berhasrat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti sekitar restorannya, setiap tahun McDonald’s Malaysia akan menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemaslahatan, melibatkan semua lebih 370 restorannya di seluruh negara menerusi program Komuniti @ McDonald’s.

 Tambah Datuk Azmir, sebagai syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia juga menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017.

 “Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi.

 “Kami sentiasa mencari peluang untuk mendekati dan menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

 Untuk rekod, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP pada tahun 2019.

 Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.

 Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat ini melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN