PETALING JAYA: Penganjuran acara berkonsepkan makanan Havoc Food Festival (HFF) menerima pengiktirafan rasmi Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Datuk Firdaus Nadxaman berkata, rekod tersebut dicipta menerusi acara Jelajah Festival Makanan Terbesar susulan kejayaan menjelajah 14 negeri di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Mneurutnya, kejayaan tersebut membuktikan kekayaan dan kepelbagaian budaya kulinari di negara ini.
“Penganjuran ini secara tidak langsung membolehkan usahawan mempromosikan jenama, meningkatkan jualan dan mengembangkan rangkaian perniagaan.
“Paling penting ia juga membantu merancakkan ekonomi setempat, sektor pelancongan serta seiring usaha menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN