Masyarakat tidak boleh membiarkan buli terus berlaku

Masyarakat tidak boleh membiarkan buli terus berlaku – Raja Zarith Sofiah

CATATAN blog Raja Zarith Sofiah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan buli di sekolah telah menjadi satu budaya buruk di negara apabila perbuatan itu kerap berlaku dan berleluasa khususnya membabitkan  para pelajar.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, masyarakat khususnya rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan perkara itu terus berlaku dengan mengabaikannya atas alasan tidak berlaku kepada anak sendiri.

“Buli di sekolah telah menjadi satu budaya yang amat buruk di Malaysia. Perbualan bersama keluarga dan sahabat handai sudah cukup membuktikan bahawa ia sebenarnya berlaku lebih kerap daripada yang disangka. Ianya benar dan ia berleluasa.

Adakah kita mengabaikan perkara ini hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak kita sendiri? Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup? 

“Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang? Jika kita benar-benar ingin dikenali sebagai sebuah masyarakat penyayang, maka sudah tiba masanya kita menjawab soalan-soalan ini,” titah Raja Permaisuri Agong dalam catatan blog Raja Zarith Sofiah.

Raja Permaisuri Agong juga memetik kisah kejadian membabitkan dua mangsa buli iaitu Zulfarhan Osman Zulkifli meninggal dunia akibat kesan melecur di tubuhnya pada 2017 dan diikuti T. Nhaveen dari Georgetown akibat pendarahan dalaman di kepalanya. 

Raja Zarith Sofiah bertitah, remaja dan belia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti kerana terpaksa menghadapi satu hari atau satu malam lagi kerana diseksa oleh rakan sebaya mereka. 

“Para ibu bapa juga tidak sepatutnya perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga sedia ada.

“Tanggungjawab bersama kita sebagai masyarakat ialah memastikan setiap nyawa yang terkorban di tangan pembuli tidak berakhir dengan sia-sia,” titah Raja Permaisuri Agong.

Raja Zarith Sofiah bertitah, sekolah dan institusi pendidikan termasuk universiti sepatutnya menjadi tempat di mana anak-anak berasa selamat, namun hakikatnya tempat itu menjadi mimpi ngeri bagi pelajar menjadi mangsa buli rakan sebaya.

Raja Permaisuri Agong menyentuh sikap mangsa buli yang memilih untuk menyimpan penderitaan mereka sendiri.

“Dalam satu lagi perbualan dengan seorang kenalan, saya difahamkan bahawa antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka.

“Jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri.

“Ada di antara kalangan mangsa buli yang bernasib baik boleh memilih untuk berpindah sekolah, namun bagi yang tidak mempunyai pilihan itu, mereka terpaksa kekal dan menanggung apa jua penderitaan yang dialami,” titah Raja Zarith Sofiah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN