PETALING JAYA: Pelakon, Linda Hashim, tidak menafikan banyak menerima komen daripada orang ramai yang memintanya untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 40, berkata, dia kini sedang dalam proses untuk kembali menyesuaikan diri dengan rentak industri seni tanah air selepas sekian lama menyepi.
“Saya ada baca juga komen-komen yang minta saya aktif semula, sekarang memang saya perlahan-lahan sudah mula libatkan diri dengan rumah produksi.
“Sebab saya sudah lama tinggalkan kerja produksi, jadi bila mahu kembali saya ibarat kena menyelam antara wajah-wajah baharu. Itu agar sukar sebenarnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, sebelum ini dia masih menerima beberapa tawaran namun lebih cenderung memilih watak sampingan yang bersesuaian dengan komitmen semasa.
“Sebelum ini ada sahaja saya berlakon cuma tidak banyak, watak yang ada pun sampingan. Tawaran ada, tapi banyak yang tidak bersesuaian.
“Cuma baru-baru ini saya baru sahaja selesai penggambaran drama 20 episod di Kelantan. Apa yang saya boleh cakap, insyaAllah tahun ini adalah tahun ‘comeback’ saya,” jelasnya.
Linda turut berkongsi keterujaannya apabila kembali ke set penggambaran selepas sekian lama menyepi. Katanya, pengalaman tersebut mengembalikan semula semangatnya sebagai anak seni.
“Bila saya kembali ke set penggambaran, memang saya ingatkan sudah tidak boleh lagi berlakon. Tapi rupa-rupanya, jiwa saya masih ada sebagai anak seni.
“Sayang jika saya tinggalkan semua ini, jadi saya teruskan,” katanya.
Tambah Linda, kepulangan ke dunia lakonan bukan sahaja mengubat rindu kepada industri, malah telah membawa kembali sisi dirinya yang pernah ‘hilang’ suatu ketika dahulu.
“Saya jumpa kak Ellie Suriaty semula, produksi dan kawan-kawan lama. Semua ini menjadi aura positif untuk saya.
“Sebelum ini saya macam serabut sikit, jadi saya mahu menjadi diri saya yang dahulu iaitu seorang yang gembira dan senang ketawa.
“Sekarang apabila sudah masuk semula ke dalam industri, saya nampak seorang Linda Hashim yang dulu, Alhamdulillah,” katanya. -UTUSAN