HULU LANGAT: Sumber bekalan air dan tenaga mencukupi mampu menjadi tarikan utama pelaburan semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua aspek tersebut menjadi keutamaan bagi pelabur asing untuk melabur dalam sesebuah negara.
Malah katanya, Malaysia mampu menarik pelabur dengan keupayaan negara yang memiliki sumber tenaga air yang canggih dan moden.
“Antara faktor Malaysia jadi tarikan pelabur, dengan (pelaburan membangun) pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu termasuk semikonduktor ini adalah kemudahan air dan tenaga.
“Ini kemudahan sangat strategik kerana ia yang menyebabkan kalau mereka (mahu melabur, yang ditanya ialah) air dan tenaga.
“Bagi kita, soal air dan tenaga bukan saja dapat disediakan tetapi dikawal dengan harganya yang munasabah,” katanya pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini, hari ini.-UTUSAN