Malaysia kekurangan 100,000 jurutera

Malaysia kekurangan 100,000 jurutera

MENTERI Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2025 (NEC) di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara kini berdepan isu kekurangan jurutera apabila jumlah tenaga profesional dalam bidang itu masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini negara hanya mempunyai kira-kira 200,000 jurutera sedangkan sasaran kerajaan ialah seorang jurutera bagi setiap 100 penduduk.

Menurutnya, keadaan itu bermakna negara masih memerlukan sekurang-kurangnya 100,000 jurutera lagi untuk memenuhi keperluan pembangunan negara.

“Saya difahamkan sasaran nisbah itu masih belum tercapai dan kita kekurangan hampir 100,000 jurutera. Sebab itu kerajaan giat menggerakkan pelbagai inisiatif untuk menampung jurang ini,” katanya selepas merasmikan program Konvensyen Kejuruteraan Nasional 2025 (NEC 2025) di sini hari ini.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia hanya mampu melahirkan kira-kira 6,000 jurutera setahun iaitu jauh lebih rendah berbanding keperluan semasa sebanyak 60,000 jurutera.

Tambah beliau, jurang besar itu perlu ditangani segera dengan mewujudkan laluan pantas melibatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 iaitu setaraf diploma untuk diserap ke universiti teknikal bagi dinaik taraf sebagai jurutera.

Selain itu, Alexander berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk mengukuhkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan sasaran melahirkan 60,000 tenaga kerja dalam bidang tersebut.

“Dengan adanya usaha seperti TVET, saya yakin sasaran tambahan jurutera boleh dicapai dalam tempoh terdekat. Kerajaan mahu memastikan bidang ini terus menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya

Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang kondusif serta ganjaran berpatutan bagi mengekalkan graduan jurutera untuk terus berkhidmat.

“Kita tidak mahu graduan jurutera beralih kepada kerjaya lain semata-mata kerana pendapatan awal yang lebih lumayan. Negara memerlukan kepakaran mereka untuk pembangunan,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya bersama agensi berkaitan sedang membincangkan mekanisme terbaik bagi memastikan jurutera muda terus kekal dalam bidang profesional itu.

NEC 2025 bertemakan Engineering Malaysia Integrating ASEAN anjuran Lembaga Jurutera Malaysia itu bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau, membincangkan peluang projek merentasi sempadan serta memupuk generasi jurutera muda. Konvensyen tersebut menghimpunkan hampir 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan mahu memastikan kerjaya ini terus diperkasa sebagai pemacu pembangunan negara yang lestari, inovatif dan berdaya saing. Dengan program Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan NEC 2025, saya yakin jurutera Malaysia mampu berkembang di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN