Malaysia–Brunei sepakat selesai isu sempadan darat

Malaysia–Brunei sepakat selesai isu sempadan darat

ANWAR Ibrahim mengiringi Sultan Hassanal Bolkiah sempena Mesyuarat Konsultasi Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC 26) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bru­nei sepakat mempercepat penyelesaian sempadan darat termasuk isu berlarutan di Sektor F-G, dengan komitmen jelas untuk menyiap­kan kerja pengukuran serta pe­nandaan menjelang 31 Mei 2027.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Rundingan Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC) di Putrajaya, yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sektor F–G adalah kawasan sempadan Malaysia–Brunei yang masih belum diselesaikan, terletak di bahagian darat Sarawak–Brunei dan kini menjadi fokus utama rundingan kerana masih belum ada kemajuan ketara berbanding sektor lain.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut memberi perhatian khusus kepada isu berkaitan Sektor F-G yang masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

“Sehubungan itu, mereka memberi panduan kepada Jawatankuasa Sempadan Darat Bersama supaya mempercepatkan proses penyelesaian dengan mengambil pendekatan konstruktif berhubung Pertukaran Nota 2024 (EON 2024) yang ditandatangani pada Ogos tahun lalu,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan Pertukaran Surat 2009 (EOL 2009)sebagai perjanjian penting memperkukuh kerjasama strategik dua hala.

Dalam hal ini, mereka mengambil maklum mengenai Mesyuarat ke-26 Malaysia–Brunei mengenai pelaksanaan EOL, 23 Julai lalu di Kuala Lumpur, sambil menegaskan keperluan membina momentum, meningkatkan persefahaman dan memperkukuh kerjasama bagi mempertingkatkan hubungan dua hala.

Dalam soal penandaan dan ukur sempadan darat, kedua-dua pihak menegaskan kembali komitmen terhadap EOL 2009, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Proses Penandaan dan Ukur Bersama Sempadan Darat yang ditandatangani pada Mac 2012 serta Terma Rujukan.

“Dokumen-dokumen itu menetapkan bahawa mana-mana sempadan darat yang belum ditentukan atau ditanda akan di­selesaikan berdasarkan lima perjanjian sempadan darat sedia ada.

“Bagi kawasan tanpa perjanjian, rundingan akan diadakan semata-mata berasaskan prinsip tadahan air (watershed principle),” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen EON 2024 mengenai kemajuan bersama di Sektor F-G yang ditandatangani semasa ALC ke-25 di Bandar Seri Begawan pada 26 Ogos 2024.

Mereka mengambil maklum hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Brunei-Malaysia mengenai Sektor F-G pada 8 Mei 2025 serta Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Sempadan Darat Brunei–Malaysia pada 14 Julai 2025 di Bandar Seri Begawan.

Kedua-dua pemimpin me­negaskan penyelesaian Sektor F-G mesti berasaskan sepenuhnya kepada prinsip tadahan air, selain mengulangi komitmen menentukan satu garisan tadahan tunggal di Sektor F-G dan melengkapkan proses penandaan serta ukur selewat-lewatnya pada 31 Mei 2027, selaras dengan EON 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN