Malaysia Auto Fest 2025 tarik ribuan peminat permotoran

Malaysia Auto Fest 2025 tarik ribuan peminat permotoran

auto show
Malaysia Auto Fest 2025 menghimpunkan lebih 400 pempamer daripada pelbagai cabang industri automotif termasuk pengeluar, pembekal alat ganti, pengusaha aksesori, kelab permotoran serta bengkel modifikasi tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Auto Fest 2025 melabuhkan tirainya semalam selepas dua hari penganjuran yang penuh meriah dan berprestij di Lanai Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Memasuki edisi ketiga, festival ini berjaya menghimpunkan lebih 400 pempamer daripada pelbagai cabang industri automotif termasuk pengeluar, pembekal alat ganti, pengusaha aksesori, kelab permotoran serta bengkel modifikasi tempatan.

Menurut Pengarah Program, Dev JBC, Malaysia Auto Fest dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh ekosistem industri permotoran negara serta meraikan minat mendalam masyarakat terhadap dunia automotif.

“Sambutan luar biasa daripada peserta dan pengunjung membuktikan potensi besar yang dimiliki industri automotif tempatan. Pameran ini bukan sahaja menampilkan kereta ikonik, tetapi juga mengetengahkan teknologi, kreativiti dan semangat komuniti permotoran,” katanya.

Antara kenderaan yang dipamerkan termasuklah model berprestasi tinggi dan eksotik seperti Ford Mustang, Nissan GTR, Mazda RX-7, Toyota Supra, Chevrolet Camaro, Tesla, BMW, Audi, Lamborghini, Honda Alphard, Mini Cooper, Mitsubishi dan Toyota Hiace.

Malaysia Auto Fest dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh ekosistem industri permotoran negara serta meraikan minat mendalam masyarakat terhadap dunia automotif.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang dua hari program seperti pertandingan sistem audio kereta (SPL), pertunjukan modifikasi ekstrem, perarakan kelab kereta, sesi demonstrasi EV serta zon makanan dan hiburan keluarga, menjadikannya tarikan holistik kepada pengunjung pelbagai peringkat usia.

Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa, disaksikan oleh Pengarah MaTiC, Mohamad Nawwar Faiq Mohamad Noh serta wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Eswan Eshak.

Penganjuran Malaysia Auto Fest 2025 diketuai oleh Persatuan Autoshow Malaysia, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia.

Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung, peserta, penaja, dan pasukan pelaksana yang telah menjayakan acara ini, sekali gus menaikkan nama Malaysia sebagai hub permotoran serantau.

Malaysia Auto Fest dijangka kembali tahun hadapan dengan skala yang lebih besar dan pengalaman yang lebih luar biasa menerusi edisi 2026. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN