PETALING JAYA: “Boleh tak nak mintak semua orang doakan saya dapat anak kembar?”
Demikian ciapan spontan pelakon, Mimi Lana yang meluahkan hasratnya untuk dikurniakan cahaya mata kembar selepas enam bulan mendirikan rumah tangga bersama aktor, Syafiq Kyle.
Mimi atau pemilik nama lengkap, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, berkata, dia yakin doa orang ramai mampu membantu impiannya untuk nemiliki sepasang kembar termakbul.
“Orang cakap kalau ramai-ramai doakan senang termakbul,” katanya.
Bagai memberi bayangan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata, pelakon drama The Experts itu juga meminta warganet berkongsi lebih banyak tips untuk mendapatkan anak kembar.
“Terima kasih semua. Semoga segala doa-doa yang baik berpatah balik untuk awak semua. Dan Semoga kıta sentiasa diberikan rezeki yang luas, sentiasa diberikan nikmat bersyukur dan kesihatan Yang baik oleh Allah SWT. Sayang semua.
“Terima kasih untuk nasihat yang baik dan tips untuk anak kembar juga! Gembiranya saya! Tolong kongsi lebih banyak,” tulisnya di Threads.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa buat Mimi dan Syafiq agar dikurniakan cahaya mata kembar.
Terdahulu, Mimi dan Syafiq mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Taiping, Perak pada 14 Februari lalu.
Untuk rekod, pasangan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos tahun 2023, namun dibatalkan tanpa memperincikan punca sebenar.