KUALA LUMPUR: MagLifestyle mempersembahkan koleksi terbaharu Musim Bunga Panas 2026 bertemakan Dreamy Biomimicry di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 yang telah memikat perhatian jemputan dan pencinta fesyen dengan persembahan penuh glamor dan romantis.
Mengambil inspirasi daripada keanggunan Paris, impresionisme dan renda vintaj, koleksi ini menyerlahkan aura nostalgia yang digabungkan dengan sentuhan moden. Palet warna pastel – termasuk merah jambu, biru muda, hijau pudina, kuning mentega dan krim vanila – menjadi teras rekaan, diinspirasikan daripada mawar pudar, manisan macaron dan sinaran pagi kota Paris.
Potongan signatur beralun MagLifestyle diterjemahkan melalui sifon lembut, tulle bersulam dan gaun romantis. Antara rekaan tumpuan termasuk gaun midi berlisu, gaun manik dwi-warna, blaus korset berenda, serta skirt pinggang tinggi beralun. Renda chantilly, tulle berlapis dan panel halus pula menambah elemen sensual nan sofistikated.
Aksesori melengkapkan keseluruhan gaya dengan perhiasan kepala renda berhias mutiara, reben sutera dan koleksi kasut hasil kolaborasi dengan pereka Tricia Lew. Antara yang diketengahkan ialah Mary Janes pastel, kasut tumit runcing dan kasut sarung berhias reben. Koleksi kapsul MAGLIFESTYLE x Tricia Lew dijadualkan dilancarkan pada September 2025.
Mengangkat motif rococo, flora dan elemen romantik ala Marie Antoinette, koleksi ini mempamerkan je ne sais quoi Perancis yang feminin, elegan dan mudah digayakan.
Koleksi Dreamy Biomimicry Spring- Summer 2026 boleh didapati bermula tahun depan di laman rasmi www.maglifestyle.com serta di butik fizikal MagLifestyle di Publika Shopping Gallery, One Utama Shopping Centre, Pavilion Damansara Heights, Isetan The Gardens Mall, Parkson Pavilion KL dan Parkson Pavilion Bukit Jalil.-UTUSAN