'Maaf andai ada tersakiti hati atau berdendam’ - Utusan Malaysia

‘Maaf andai ada tersakiti hati atau berdendam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerap diuji dengan masalah kesihatan sejak tahun lalu, pelakon dan usahawan, Wawa Zainal positif menganggap perkara itu berpunca kerana sistem imun tubuhnya semakin merosot disebabkan faktor usia.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dirinya kini semakin teliti dalam menjaga kesihatan dengan membuat pemeriksaan tahunan, memantau cara pemakanan serta mengambil supplemen tambahan.

“Saya kerap sakit sejak tahun lalu. Mungkin kerana usia sudah meningkat, sistem imun badan itu semakin berkurangan sehingga menjejaskan kesihatan. Ini pun saya baru sahaja pulih dari demam dan batuk.

“Mungkin saya perlu mengambil vitamin supaya tidak kerap sakit kerana sebelum ini setahun sekali pun susah nak sakit. Saya juga kerap membuat pemeriksaan kesihatan setiap tahun.

“Syukur, Airil pun setiap kali saya tidak sihat dia akan terus bawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Saya juga tidak mengambil minuman bergas, manis dan bersusu kerana gastrik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya sama ada penyakit yang dialaminya kini berpunca daripada ‘ain’, pelakon yang berusia 34 tahun itu tidak menafikannya.

Bagaimanapun, Wawa juga memohon maaf sekiranya tindak lakunya pernah mengguris hati mana-mana pihak sehingga mengancam kesihatannya kebelakangan ini.

“Saya juga ada tanya beberapa orang yang mahir dalam hal ini untuk pastikan ada yang ‘menghantar’ atau tidak. Mereka kata ada.

“Namun, saya tidak melakukan sebarang rawatan alternatif sebaliknya bergantung pada ayat al-Quran dan zikir sebagai pelindung.

“Saya juga ingin memohon maaf sekiranya saya ada tersakiti hati mana-mana pihak secara tidak sengaja atau ada yang berdendam dengan saya,” jelasnya.

PENJENAMAAN SEMULA
Meskipun kegiatannya dalam industri seni tidak lagi aktif, namun nama pelakon Patahnya Sebelah Sayap itu tetap dikenali kerana kejayaannya dalam bidang perniagaan.

Pun begitu, pengasas jenama tempatan, Wawa Global ini juga tidak dapat lari daripada isu produk tiruan meskipun sudah beberapa kali cuba tanganinya.

Tidak mengalah dengan cabaran tersebut, Wawa kini tampil berani melakukan penjenamaan semula ke atas perniagaannya dan mengeluarkan tiga produk pelindung matahari.

“Penjenamaan semula kali ini kerana krew kami mahu jenama ini tampil dengan logo yang lebih segar dan mengikuti perkembangan semasa. Sekarang banyak jenama yang tampil dengan logo bercorak bunga, jadi kami juga cuba lakukan perubahan itu.

“Lagipun, umum tahu produk kami ini sering diciplak. Bayangkan selepas mengeluarkan produk perlindung matahari ini, kami sudah tiga kali menukar pembungkusannya,” kongsinya.

Tambah Wawa, isu produk tiruan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi syarikatnya malah menyebabkan dirinya menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

“Tidak dinafikan isu produk tiruan ini menyebabkan pihak kami kerugian dari segi wang ringgit. Misalnya, sebelum ini kami mampu meraih keuntungan sebanyak RM100,000 kini kami hanya mendapat RM50,000 selepas menjualnya.

“Bukan itu sahaja, ia juga menjejaskan reputasi jenama kami kerana ramai yang terpedaya dengan produk tiruan namun hasilnya tidak mencapai jangkaan pembeli.

“Lagi pula, setiap produk tiruan yang dikeluarkan juga berbeza mutunya dari segi bau dan tekstur. Sebenarnya agak susah untuk jejak dan tangani masalah ini kerana bukan orang Malaysia yang menjadi puncanya, tetapi orang daripada China,” ujarnya.

Sempena penjenamaan semula, Wawa dan suami, Aeril Zafrel selaku pengasas turut memilih Syed Saddiq serta pasangan pempengaruh, Umisya Mazlan dan Ahmad Aslam sebagai wajah kempen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN