PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan dadah, rokok dan barang-barang lain yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbongkar, selepas 10 individu termasuk lima pegawai kanan tentera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penahanan kesemua individu termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun dilakukan di sekitar Lembah Klang sejak operasi Op Sohor dilancarkan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Sindiket yang beroperasi di selatan tanah air itu dianggotai pegawai-pegawai kanan Bahagian Perisikan ATM termasuk dua bekas anggota daripada bahagian yang sama.
Menurut sumber, mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.
Katanya, siasatan awal mendapati, lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia.
“Kesemua barangan itu membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.
“Suspek-suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi serbuan awal pagi tadi berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira 12 bulan, turut ditemukan wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita.
“Rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah turut ditangkap semasa serbuan.
Kata sumber, individu berkenaan dijadikan wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, tindakan operasi itu wajar diambil serius oleh semua pihak kerana melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan, namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Di Putrajaya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian dan ATM akan memberikan kerjasama dalam siasatan SPRM berhubung penahanan beberapa pegawai kanan tentera dalam satu operasi membanteras sindiket penyeludupan.
Katanya, tiada kompromi dalam isu yang boleh menggugat keselamatan negara kerana undang-undang harus ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Tegasnya, tiada individu istimewa di bawah undang-undang dan memohon pihak berkuasa melaksanakan siasatan sewajarnya dan pelaku dibawa ke muka pengadilan. – UTUSAN










