KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lima kematian sepanjang Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Yusri Hassan Basri, pihaknya menghargai kerjasama baik diberikan penganjur dan peserta sepanjang program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap berharap peserta program itu lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan berlakunya kemalangan maut.
“Sebanyak lima kes kematian dicatatkan membabitkan peserta RXZ 7.0.
“Namun kerjasama daripada JSPT akan terus dipertingkatkan lagi, terutamanya untuk memudahkan dan membantu mereka (peserta RXZ 7.0).
“Perkara ini termasuk menguatkuasakan peraturan-peraturan dan undang-undang sekiranya terdapat peserta yang melakukan kesalahan seperti menunggang dengan aksi berbahaya atau mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menunjukkan sikap positif selain memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
“Ini khususnya kepada JSPT, dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan juga keselamatan yang ditetapkan sepanjang kehadiran mereka untuk hadir dalam program RXZ 7.0 di Terengganu, pergi dan balik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara berkenaan.
Program RXZ 7.0 yang dianjurkan di Gong Badak, Kuala Nerus hujung minggu lalu menghimpunkan ribuan pemilik serta peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.
Acara tahunan itu turut menampilkan pelbagai aktiviti komuniti dan pameran berkaitan dunia permotoran.- UTUSAN