Lelaki ditahan, dadah bernilai RM1 juta dirampas - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan, dadah bernilai RM1 juta dirampas

ehati
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas menemukan 24 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai hampir RM1 juta dalam dua serbuan di Lembah Klang pada Rabu lalu.

Menerusi serbuan pertama dijalankan di sebuah residensi pada 6.15 petang yang menemukan dua ketulan mampat heroin base seberat 741 gram (g)

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata,susulan daripada itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur seterusnya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di sebuah lagi lokasi lain iaitu Taman Perumahan, Taman Segar, Cheras Selangor.

“Di situ, polis menemukan satu guni dan beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki heroin base dianggarkan 3kg,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Fadil berkata, polis turut menemukan 20 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi syabu dianggarkan seberat 20.5kg.

“Suspek berusia 29 tahun itu dipercayai menjadikan kenderaan terbabit sebagai stor sebelum mengedar bahan terlarang itu kepada pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai mula bergerak aktif sejak Oktober 2024 dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambahnya, dadag jenis heroin base dipercayai akan diproses terlebih dahulu untuk dijadikan heroin nombor tiga yang boleh digunakan penagih.

Fadil berkata, nilai pasaran kesemua heroin base terbabit dianggarkan RM321,000, manakala syabu RM653,000.

“Keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM974,000 dan jumlah dadah yang dirampas dipercayai boleh menampung penggunaan seramai 420,400 penagih dadah pada satu masa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali,”jelasnya.

Fadil memberitahu, ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.

“Manakala semakan rekod lampau menunjukkan suspek pernah dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN