PONTIAN: Peribahasa ‘orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya’ menjadi kenyataan apabila seorang lelaki berusia 31 tahun cedera selepas terkena tempias pergaduhan dua kumpulan di sebuah kafe di Pusat Perniagaan Kota Emas, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, insiden berpunca daripada pertikaian hutang sebanyak RM500 antara kumpulan terbabit.
Pergaduhan yang melibatkan 14 lelaki berusia 13 hingga 26 tahun itu menyebabkan mangsa yang sedang minum bersama rakannya mengalami kecederaan di muka dan kepala.
Abang mangsa membuat laporan di Balai Polis Pontian pada pukul 4.23 pagi, sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dikerahkan ke lokasi.
“Polis menahan empat lelaki yang terlibat, manakala mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pontian. Kesemua suspek direman sehari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427, Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah pergaduhan atau rusuhan yang mengancam ketenteraman awam serta menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video atau maklumat tidak sahih.
Sebarang maklumat lanjut berhubung kes boleh disalurkan ke talian Hotline IPD Pontian di 07-686999. – UTUSAN








