Larang remaja bawah 16 tahun guna media sosial

Larang remaja bawah 16 tahun guna media sosial

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia ma­sih ketinggalan dalam aspek pencegahan buli di peringkat sekolah jika dibandingkan dengan negara lain.

Pakar Kriminologi Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Zalmizy Hussin berkata, pelaksanaan dasar bagi pencegahan buli hanya berfokus pada pe­ringkat dokumen dan kempen semata-mata tanpa penguatkuasaan serta pelaksanaan yang konkrit.

Katanya, kurangnya integrasi data, kolaborasi komuniti dan pemerkasaan murid sebagai ejen pencegahan menjadi faktor kegagalan mengekang masalah buli di sekolah di negara ini.

“Negara Finland berjaya menurunkan kadar buli melalui program KiVa yang menggabungkan pelbagai elemen seperti pendidikan nilai, pemantauan tingkah laku pelajar dan intervensi awal.

“Tetapi kita masih ketinggalan sedangkan keberkesanan mencegah sebenarnya hanya dapat dicapai melalui gabungan pemantauan berkala, audit keberkesanan serta tindakan disiplin yang konsisten dan adil,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Media sebelum ini melaporkan kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 17 Julai lalu di Papar, Sabah.

Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, dilapor mahukan siasatan telus, adil dan saksama terhadap kes kematian anak tunggalnya itu yang didakwa menjadi mangsa buli.

Dalam pada itu, Zalmizy berkata, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang bagi menghalang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti dilaksanakan kerajaan Australia.

Katanya, kerajaan memilih pendekatan berbeza, iaitu tidak menetapkan had umur minimum secara undang-undang tetapi memberi tumpuan kepada pelesenan dan penguatkuasaan semakan umur oleh penyedia platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp.

“Pendekatan ini dilihat lebih pragmatik daripada segi pelaksanaan kerana ia mengurangkan risiko tentangan masyarakat terhadap larangan total, namun kelemahannya ialah keberkesanan bergantung sepenuhnya kepada pematuhan industri teknologi yang mempunyai kepentingan komersial.

“Secara kritikalnya, tanpa pemantauan teliti dan mekanisme penguatkuasaan yang kukuh, risiko penyalahgunaan dan penipuan umur masih tinggi, sekali gus menjejaskan matlamat asal kawalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN