SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin bersedia menjalani proses hakam pada September depan selepas suaminya, Dr. Rushdi Ramli bertegas untuk tidak melafazkan cerai.
Kata Nora, beliau akur dengan keputusan mahkamah dan terbuka untuk melalui apa sahaja prosedur yang ditetapkan untuk menyelesaikan kes perceraiannya.
“Saya sudah lakukan apa yang sepatutnya dan sudah tunaikan setiap permintaan.
“Malangnya, kuasa talak itu bukan pada saya. Proses mahkamah dilanjutkan kerana suami enggan melepaskan saya. Oleh itu mahkamah telah menetapkan proses hakam pada 3 September ini.
“Kepada mana-mana pihak yang masih nak berhujah dan sebagainya, silalah berbuat demikian.
“Saya kalau boleh tidak lagi mahu masuk campur dan sebolehnya ingin segera keluar daripada keadaan yang toksik ini,” katanya.
Nora hadir Mahkamah Rendah Syariah Petaling pagi tadi bagi proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkenaan prosiding kes perceraiannya.
Beliau ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin.
Dr. Rushdi yang hadir berasingan memaklumkan masih mahu mempertahankan perkahwinan kerana mendapati tiada keperluan untuk menceraikan Nora.
“Tiada pasangan berkahwin yang mahukan perceraian kecuali dengan alasan munasabah yang diredai Allah S.W.T.
“Kalau tiada alasan munasabah, suami isteri tidak patut bercerai.
“Apa pun saya berserah kepada Allah S.W.T agar memberi yang terbaik kepada kami,” kongsinya.
Nora sekitar Ogos tahun lepas diceraikan Dr Rushdi menerusi sebuah video. Mereka bagaimanapun kembali rujuk selepas sebulan mengumumkan penceraian tersebut.
Kemelut rumah tangga penyanyi itu memasuki episod baharu apabila Nora memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Mac tahun ini.
Ibu empat cahaya mata itu memaklumkan keputusan berkenaan diambil demi memenuhi permintaan isteri pertama Dr Rushdi, Ustazah Rose Aliza Sutrisno selain desakan pihak ketiga.
Terdahulu, Nora sah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul itu pada hujung 2021.
Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema tersebut pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Allahyarham Johan Nawawi pada 1992.
Mereka dikurniakan empat anak iaitu Putri Nor Dahlia, Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif dan Putri Nor Fathehah. – UTUSAN