KPDN serbu stor haram seleweng LPG di Batu Gajah - Utusan Malaysia

KPDN serbu stor haram seleweng LPG di Batu Gajah

KAMALLUDIN Ismail (kiri) menunjukkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang ditemukan dalam stor di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah ketika serbuan semalam - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Bemban, di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan melalui Op Gasak pada pukul 6.30 petang itu, sebanyak 1,899 tong LPG 14 kilogram (kg) ditemukan di dalam premis yang beroperasi secara haram itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati, stor yang beroperasi sejak sebulan lalu itu menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas LPG daripada tong berkapasiti 14kg ke dalam tangki.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.

“Sehubungan itu, tindakan sitaan diambil dengan menyita sejumlah 1,899 tong LPG di mana sebanyak 871 tong berisi LPG 14kg manakala 1,028 pula tong kosong. Dianggarkan sebanyak 18,194kg LPG disita dengan nilai sitaan berjumlah RM66,508.60,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.

Tambah Kamalludin, dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun yang merupakan pemilik premis ditahan untuk siasatan lanjut bersama lima pekerja lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu ialah dengan membeli gas LPG bersubsidi 14kg daripada pemborong dari dalam dan luar Perak sebelum barang kawalan itu dihantar ke stor haram ini untuk aktiviti decanting.

“Gas daripada tong 14kg ini akan dipindahkan ke dalam tangki yang disediakan di stor di sini sebelum ia dipindahkan ke dalam tangki lori untuk dijual kepada pihak industri bagi tujuan komersil.

“Berdasarkan harga semasa, LPG bersubsidi bagi tong 14kg dijual pada kadar RM1.90 sekilogram, namun, harga siling pasaran bagi LPG ialah RM5 sekilogram.

“Perbezaan harga ini membuka ruang kepada sindiket mengambil untung dengan menjual gas bersubsidi kepada pihak industri pada harga lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam sindiket itu termasuk bekalan LPG dan rantaian pengedarannya.

“Serbuan kali ini boleh dikatakan melibatkan rampasan terbesar kerana sebelum ini kita pernah rampas 463 tong dan kali ini jumlah yang dirampas kira-kira lima kali ganda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN