Kolej Diraja perlu miliki hospital pengajar - Utusan Malaysia

Kolej Diraja perlu miliki hospital pengajar

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (Kolej Diraja) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (Kolej Diraja) di sini perlu memiliki hospital pengajar sendiri pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan perkembangan pesat institusi bertaraf Diraja itu yang membolehkan hospital pengajar diwujudkan sebagai mercu tanda baharu ilmu dan bakti.

“Bukan sahaja untuk memperkukuh aspek pengajaran dan pembelajaran, malah keberadaan Teaching Hospital ini membawa limpahan rahmat kepada masyarakat.

“Ia sekali gus mengurangkan kesesakan hospital serta memberi sumbangan besar kepada rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak Kolej Diraja di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat mempertimbangkan penambahan sekurang-kurangnya 250 kuota baharu bagi pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di Kolej Diraja.

Menurutnya, tambahan kuota tersebut amat penting bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan.

“Dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Kesihatan di sini, disaksikan Tuanku, saya yakin kerjasama dua kementerian ini dapat merealisasikan penambahan kuota ini,” katanya.

Kolej Diraja yang diasaskan pada 18 Februari 1999 atas perkenan dan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, kini menjadi antara institusi pendidikan MARA bertaraf Diraja paling berjaya di negara ini.

Sehingga kini, lebih 10,950 graduan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan telah dilahirkan, berkhidmat dalam serta luar negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dengan kapasiti hampir 3,600 pelajar serta lebih 400 tenaga akademik dan bukan akademik, Kolej Diraja menawarkan 18 program pengajian daripada diploma hingga ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Sementara itu, Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, sambutan Jubli Perak merupakan penghargaan kepada semua pihak yang banyak berjasa sejak penubuhan institusi berstatus Diraja itu.

“Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang dikurniakan status Diraja, kami beriltizam untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan mahasiswa sentiasa dipertingkatkan selari dengan pengiktirafan tersebut,” katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan majlis pelancaran Blok Al-Zahrawi yang menempatkan Fakulti Perubatan serta Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Bersekutu, selain pelancaran dua buku ilmiah penting iaitu Handbook of Rheumatoid Arthritis and Images in Rheumatology hasil penulisan Profesor Datuk Dr Wahinuddin Sulaiman bersama Dr Ainon Mohd Mokhtar.

Turut dilancarkan, Modul Usrah Kontemporari serta Smart Circle Module oleh Pensyarah dan Koordinator Program Huffaz Profesional Kolej Diraja, Muhammad Asyraf Saifudin dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN